loading...

Saturday, 10 September 2016

Nafi Bersara Dunia Lakonan, Kini Kembali dengan imej Islamik

Ketika namanya dipuncak, pelakon yang dikenali dengan tagline Apa Celop Toqq, Taiyuddin Bakar, 33, nekad meninggalkan seketika dunia hiburan tanah air.

Malah, ada pihak yang mendakwa Taiyuddin atau lebih mesra disapa Tai sudah bersara.

Hampir dua tahun menyepi, Tai kembali dengan imej Islamik sesuai dengan penghijrahannya mendalami agama.

Bagi pemilik nama sebenar Sallehuddin Abu Bakar ini, dia menafikan dakwaan dirinya sudah bersara seperti diperkatakan ramai.

“Walaupun hampir dua tahun berehat, saya tidak pernah membuat kenyataan kepada pihak media mahupun peminat untuk bersara sebagai pelakon.

“Saya percaya cerita ini timbul ketika saya memutuskan mahu berhijrah dan mendalami agama,” katanya.

Menurut anak jati Muar, Johor ini, dia rindu kembali beraksi depan kamera.

“Sudah namanya anak seni, saya sangat merindui suasana di lokasi penggambaran.

“Sebagai pelakon, saya tidak pernah putus asa kerana percaya rezeki adalah ketentuan Allah.

“Kalau rezeki saya bukan dalam bidang ini, mungkin ada di tempat lain termasuk bisnes,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Teater Kuala Lumpur 2005.

Jaga batas dalam lakonan

Selepas berhijrah, Tai bersyukur kerana masih ada penerbit dan pengarah sudi menawarkannya beraksi di layar perak.

Kata Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM24) menerusi filem Hantu Bonceng itu, dia akan terus berlakon selagi ada tawaran.

“Saya akan berdakwah menerusi lakonan. Jika ada watak yang sesuai dengan penghijrahan ini dan tiada babak bersentuhan dengan pelakon wanita, saya pasti terima,” katanya.

Terbaru, dia terbabit dalam drama yang diterbitkan dalam format DVD, Last Kopek Havoc arahan Along Eyzendy.

“Kali terakhir saya berlakon menerusi filem Tuli Sekampung arahan Mohd Nor Kasim bergandingan dengan Nabil Ahmad dan Beto Kusyairi pada 2014.

“Selain itu, saya juga membintangi filem Radhi, Rudy Bin Dadu arahan Arjin Uppal terbitan White Merpati Entertainment yang menemui penonton semalam.

“Dalam filem ini, saya bergandingan dengan Soffi Jikan, Ezzaty Abdullah, Usop Wilcha, Puteri Sarah Liyana dan Khatijah Tan,” katanya.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...