loading...

Saturday, 10 September 2016

Latih Isteri Sendiri Jadi Pembantu Peribadi

Melihat Izzue Islam, Hisyam Hamid dan Aaron Aziz menggunakan khidmat isteri sebagai pengurus dan juga pembantu peribadi, langkah sama turut mahu diambil pelakon Shah Iskandar selepas bergelar suami kepada Siti Sarah Mohd Noor pada 16 Januari lalu.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Runtun Qalbu itu berkata, bagi memastikan karier seninya bertambah lancar, dia kini melatih isterinya selok-belok dunia hiburan dan kerjaya sebagai seorang pengurus.

“Sebelum ini dia pernah bertanya dan menunjukkan minat menguruskan jadual kerja saya apabila melihat cara saya menguruskan kerjaya sendiri yang kadang-kala ada kekurangan.

“Saya pula memang sudah lama mahu memintanya menguruskan karier seni kerana segala urusan jadi lebih mudah.

“Dia kini masih dalam proses belajar dan insya-Allah akan ambil alih semua urusan menjaga jadual saya sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bermula Jun lalu, Shah mula membawa isterinya ke set penggambaran bagi memberi gambaran mengenai kerjayanya sebagai pelakon selain memahami aktiviti hariannya.

Menurut Shah, langkah awal itu membolehkan Sarah berkenalan dan bergaul dengan pekerja industri, menambah kenalan selain mengelak salah faham apabila dia perlu bergandingan dengan pelakon wanita dalam drama yang dibintanginya.

“Bagi saya, dengan membawa isteri ke lokasi , isu cemburu atau pulang lewat ke rumah tidak akan wujud selain dia lebih faham dengan persekitran kerja saya yang sebenar.

“Sejak membawanya ke lokasi penggambaran, saya melihat perubahan positif dalam dirinya. Dia semakin selesa dan pandai berkawan dengan orang dalam industri walhal sebelum ini dia pemalu,” katanya.

Meskipun bergandingan dengan pelakon wanita yang kadangkala memaksa dirinya bersentuhan, Shah bersyukur kerana isterinya tidak pernah cemburu apatah lagi berjauh hati ketika berada di set penggambaran.

“Alhamdulillah, isteri memahami kerja saya. Dia sangat menghormati dan percaya setiap kerja yang saya buat. Bagi saya kejujuran adalah asas penting untuk mengelakkan berlaku pertelingkahan.

“Tidak dinafikan, kadang-kala saya sengaja bergurau dengan mengatakan mahu berlakon dengan pelakon wanita yang diminatinya. Namun, dia faham saya hanya bergurau,” katanya.

Menurut Shah lagi, memilih Sarah sebagai pengurus menjadikan kerjayanya lebih teratur.

“Dari dulu sampai sekarang saya memang susah menjawab panggilan telefon. Namun selepas diuruskan isteri, dialah yang menguruskan setiap panggilan.

“Selepas ini segala urusan tawaran berlakon, menetapkan sesi fotografi dan menjawab panggilan media perlu melalui isteri supaya segalanya jadi lebih mudah dan teratur,” katanya latihan yang diberikan kepada isteri akan merapatkan hubungan mereka.

Dalam perkembangan lain, Shah berkata banyak drama lakonannya belum disiarkan di kaca televisyen.

Terbaharu dia bakal muncul dengan drama bersiri Biar Aku Jadi Penunggu dan Tahajjud Cinta Umairah di slot Samarinda TV3.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...