loading...

Friday, 29 January 2016

KAFA Sedia Bincang Dengan Sarawak Jika Masih Ingin Syahrul

Syahrul Azwari Ibrahim
Syahrul Azwari Ibrahim
KOTA BHARU – Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan penyerang Harimau Muda Syahrul Azwari Ibrahim kembali ke pangkuan Kelantan disambut sebagai berita gembira oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), yang tetap membuka pintu rundingan untuk Sarawak sekiranya mereka tetap menginginkan pemain sayap lincah itu bermain bersama mereka.
Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail menganggap keputusan Jawatankuasa Status Pemain FAM mengarahkan agar Syahrul Azwari kembali ke pangkuan Kelantan adalah tepat dan berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan tersebut yang dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara itu.
“Saya harap kes ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk pemain agar menghormati peraturan sedia ada.
“Bukan itu sahaja, saya yakin dan percaya kes ini akan menjadi rujukan sekiranya berulang pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jawatankuasa Status FAM semalam memutuskan bahawa kontrak Syahrul Azwari bersama Sarawak terbatal kerana tidak mengikut tatacara yang telah ditetapkan.
Bukan itu sahaja, jawatankuasa itu turut memutuskan bahawa pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pangkuan pasukan Kelantan kerana karier bola sepak­nya bermula di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Pada masa sama, Kafa dan Syahrul Azwari perlu mengadakan perbincangan dalam tempoh tujuh hari bermula dari tarikh dan terma keputusan diterima sekiranya skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors memerlukan khidmat pemain berkenaan.
Tambah Rosmadi, Kafa akan meneliti terlebih dahulu keperluan pa­sukan sebelum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, Kafa juga sedia berbincang dengan Sarawak seandainya mereka tetap mahu mendapatkan khidmat pemain tersebut.
“Sekiranya Sarawak mahu mendapatkan khidmat pemain berkenaan mereka boleh datang berjumpa dengan Kafa, kita sedia berbincang. Bukan itu sahaja, Kafa juga mahu perkara ini diselesaikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Mengikut peraturan FAM seseorang pemain Harimau Muda yang dibebaskan perlu kembali ke negeri dia memulakan kerier sebagai pemain bola sepak.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...