PENGGEMPUR berbisa Thailand, Terassil Dangda bakal memperkuatkan jentera serangan pasukan Kelantan pada Jun depan sebaik sahaja pintu perpindahan pemain untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) dibuka semula.
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida berkata, rundingan dengan Dangda dan pasukan Muangthong United sedang giat dijalankan dalam usaha membawa masuk pemain berkenaan.
“Kontrak Dangda dengan Muangthong United akan berakhir pada Jun depan. Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, Dangda akan menyarung jersi The Red Warriors (TWR) pada Jun nanti.
“Saya harap para penyokong terus memberikan sokongan padu terhadap usaha membawa masuk pemain ini. Apa yang saya lakukan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan skuad TRW musim ini,” kata Dr. Vida kepada pemberita di Kota Bharu semalam.
Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan Dangda kini berada dalam radar skuad Kelantan.
Ketika ini, pemain tersebut sedang beraksi sebagai pemain pinjaman dengan pasukan Almeria di Liga Sepanyol dan dia sudah kembali semula ke Muangthong United pada 20 Januari lalu.
Sepanjang beraksi dengan Muangthong United bermula 2009 hingga 2014 Dangda telah menghasilkan 86 gol daripada 186 penampilan bersama pasukan berkenaan.
Dr. Vida memberitahu, beliau sanggup melakukan apa sahaja dalam usaha menjulang semula maruah pasukan Kelantan musim ini.
Katanya, beliau berharap barisan pemain TRW dapat memberikan komitmen tinggi dengan mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Dalam pada itu, Dr. Vida berkata, Kelantan perlu mendapatkan pemain import yang berkualiti jika mahu mencabar kejuaraan liga musim ini.
Katanya, kehadiran pemain import yang berkualiti itu mampu menambah kekuatan, seterusnya menghadirkan rasa gerun kepada pihak lawan.
“Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini kerana saya lihat pemain import yang ada dalam skuad Johor Darul Takzim (Johor DT), Selangor dan Pahang memiliki kualiti yang tersendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment