loading...

Sunday, 31 January 2016

KAFA bakal lancar saluran televisyen

Datuk Seri Dr Hasmiza Othman selaku penaja utama pasukan Kelantan.

KUALA LUMPUR: Kelantan terus mengorak langkah jauh ke depan apabila bakal muncul sebagai pasukan pertama di negara ini yang akan memiliki saluran atau stesen televisyen sendiri.

Perkembangan itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa. Stesen atau saluran berkenaan, katanya akan dilancarkan sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 13 Februari ini.

"InsyaAllah sebelum liga bermula 13 Februari ini, pasukan Kelantan akan muncul pasukan pertama yang akan melancarkan saluran atau stesen televisyen sendiri.

"Tunggu pengumuman rasmi minggu depan," katanya menerusi entri terbaharu dalam akaun Facebook miliknya itu.

Berita ini pasti menggembirakan penyokong setia skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) selepas pasukan itu sebelumnya mendapat suntikan dana daripada pengasas produk kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman selaku penaja utama pasukan.

Biarpun kata putus secara lebih terperinci hanya akan dapat dimuktamadkan minggu depan tetapi secara amnya inisiatif itu selari dengan penswastaan Liga M yang bakal bermula musim ini.

Dalam pada itu, tinjauan pada Facebook milik Annuar semalam, mendapati rancangan KAFA memperkenalkan stesen atau saluran televisyen itu mendapat respon positif majoriti daripada peminat dan penyokong PQPTRW.

Mereka berharap usaha terbaharu itu akan meningkatkan lagi prestasi pemain selain sokongan peminat bagi menghadapi saingan liga musim ini dan seterusnya.

Beberapa kelab terkenal Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool turut memiliki saluran televisyen masing-masing dan ia popular di kalangan penyokong setia mereka.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...