loading...

Wednesday, 25 November 2015

‘Bagai mimpi miliki rumah sendiri’

‘Bagai mimpi miliki rumah sendiri’
Mohd Zaki menyerahkan replika kunci rumah dhuafat kepada Mat Husien dan Siti Khatijah (duduk atas kerusi) di depan rumah yang baharu siap dibina di Kampung Dalam Rhu, Tumpat.

TUMPAT - “Bagaikan mimpi memiliki rumah sendiri untuk kami 13 beranak berteduh,” kata pasangan orang kurang upaya (OKU), Mat Husien Awang, 67, dan isterinya, Siti Khatijah Mamat, 58, dari Kampung Dalam Rhu, di sini, semalam.

Mat Husien cacat kedua kaki, manakala Siti Khatijah seorang kerdil menerima rumah daripada kerajaan negeri di bawah Skim Bantuan Rumah Dhuafat bagi Dun Kelaboran.

Siti Khatijah berkata, sebelum ini dia mendirikan sebuah rumah kecil di atas tanah kerajaan dan menetap di situ selama 45 tahun.

“Sejak saya kahwin ketika usia 13 tahun, saya bina rumah kecil di situ, sehingga ada 11 anak.. saya masih tak mampu bina rumah yang sempurna.

“Dengan anak yang ramai dan tiga daripadanya masih lagi bersekolah, saya akur sampai bila-bila pun tidak mampu untuk membina rumah sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kata Siti Khatijah, mereka sekeluarga bersyukur apabila diberikan sebuah rumah percuma yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Rezeki kami, kami diberikan sebuah rumah percuma yang cantik dan dilengkapi tiga bilik... dapatlah kami anak beranak berteduh.

“Tiga anak saya sudah berumah tangga, masih ada lapan lagi yang tinggal dengan saya,” katanya yang bekerja mengambil upah menyiang ikan.

Menurutnya, rumah dhuafat itu didirikan di atas tanah yang dibeli 35 tahun lalu, hasil berjimat cermat dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah dan baiki enjin bot.

“Walaupun tanah yang dibeli tidak luas, tetapi dengan adanya rumah ini, ia mengubah hidup kami sekeluarga.

“Kami tidak lagi menumpang, kami dah ada rumah sendiri, ini harta untuk anak kami,” katanya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah dhuafat yang disempurnakan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata, ini rumah kedua siap dibina dalam tahun ini tetapi rumah ke-32 dibina di Dun Kelaboran sejak Skim Bantuan Rumah Dhuafat diperkenalkan pada 2006.

Beliau berkata, skim itu banyak membantu golongan daif yang tidak mempunyai kediaman selesa apabila setiap Dun menerima peruntukan RM100,000 untuk membina rumah dhuafat itu.

“Dengan peruntukan itu, kami mampu membina empat rumah dhuafat setahun di Dun Kelaboran,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...