KUALA KRAI - Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil inisiatif untuk membantu tujuh penerima bantuan meningkatkan pendapatan mereka dengan mengusahakan projek tanaman jagung di atas tanah berkeluasan 2.43 hektar di Kampung Bunut Payong, Telekong, di sini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Krai, Zulbahri Ibrahim memaklumkan, projek yang dilaksanakan sejak September lalu telah mula mengeluarkan hasil untuk dirasai bersama oleh peserta-peserta projek.
Menurutnya, selain tujuh penerima bantuan, seramai lapan penduduk miskin turut menjadi peserta projek itu dan sebagai bantuan, JKM membayar sewa tanah sebanyak RM100 bagi setiap peserta.
"Setiap bulan mereka terima bantuan daripada JKM dan hasil jualan jagung ini dapat membantu mereka menambah pendapatan. Ini merupakan cara untuk kita melatih peserta projek supaya tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada JKM.
"JKM keluarkan modal sebanyak RM2,700 bagi setiap peserta melalui projek ini dan kita berhasrat untuk meneruskan penanaman jagung pada musim akan datang," katanya.
Ibu tunggal, Mafuzah Derahman, 52, yang kematian suami pada Januari lalu, bersyukur kerana terpilih menyertai projek itu dan tidak perlu lagi risau pendapatannya terjejas apabila tiba musim tengkujuh.
"Sebelum ini saya menoreh getah di samping menerima bantuan RM200 sebulan daripada JKM dan bila musim tengkujuh, saya selalu risau pendapatan saya terjejas.
"Projek penanaman jagung ini banyak membantu yang mana duit hasil jualan jagung dapat digunakan untuk perbelanjaan harian. Bahagian saya adalah seluas 0.20 hektar dan dapat menjana pendapatan sekitar RM900," katanya.
Siti Fatimah Seman, 64, gembira kerana terpilih sebagai peserta projek itu dan dalam masa lima hari sejak Sabtu lalu, dia memperoleh pulangan RM1,000 hasil juala jagung.
"Saya jual sendiri jagung di Pasar Borong Kuala Krai, Pasar Isnin Machang dan jualan di rumah. Saya harap projek ini diteruskan kerana ia dapat bantu kami tambah pendapatan," kata ibu kepada anak Orang Kurang Upaya (OKU) itu.
Sementara itu. Penolong Pegawai Pertanian Kuala Krai, Hong Ten Hai menyatakan rasa kagum dengan usaha dilaksanakan JKM Kuala Krai bagi membantu golongan kurang berkemampuan menambah pendapatan.
Katanya, Jabatan Pertanian akan terus membantu peserta dari segi khidmat nasihat serta bantuan baja dan beliau sendiri telah bertemu peserta untuk memberi suntikan motivasi dan galakan.
"Saya lihat projek ini berjaya, jadi saya cadangkan saiz ladang ditambah. Bagi saya aktiviti pertanian mampu beri motivasi kepada penduduk untuk lebih berjaya dan saya cadangkan agar saiz ladang ditambah," katanya.
0 comments:
Post a Comment