loading...

Saturday, 19 November 2016

Siti Nurhaliza Idola Saya - Neelofa

Sejak kecil lagi pelakon dan pengacara Neelofa, 27, meminati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, 37. Malah menganggap ketika zaman kanak-kanaknya penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu adalah satu-satunya artis tempatan yang diminati.



Tentu saja apabila kali pertama bertemu dengan artis kesayangannya membuatkan Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor tidak keruan hingga hilang kata-kata.

Dia bagaikan tidak percaya apabila memperoleh kesempatan bertemu dengan penyanyi diminatinya yang lahir daripada pertandingan Bintang HMI pada 1995.

Berkongsi kisah artis yang menjadi idolanya, Neelofa atau Lofa akui memang sejak dulu menggilai Siti.

Katanya, Siti adalah satu-satunya artis tempatan yang paling diminatinya dan tiada orang lain.

“Saya masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan Siti. Waktu itu penyanyi yang mula mencipta nama dengan lagu Jerat Percintaan itu sudah bernikah dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

“Kebetulan keluarga saya memang kenal dengan keluarga Datuk K. Apabila satu hari kami diundang menghadiri satu majlis yang diadakan di kediaman mereka, saya rasa terpegun kali pertama bertemu Siti.

“Bayangkan selama bertahun-tahun menanam minat dalam hati, tiba-tiba idola kita berada di hadapan mata. Malu alah juga dibuatnya ketika itu, rasa tidak senang duduk pun ada,” katanya.

Walaupun dalam keadaan serba tidak kena, Lofa akui waktu itu cuba memujuk hati agar mengawal dirinya. Katanya, malu kalau perilakunya nanti kurang disenangi.

“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa hati saya berselubung girang. Saya memang memandang tinggi kepada artis idola saya atas beberapa perkara. Sudah tentu kerana vokal hebat Siti berjaya memenangi hati saya.

“Sejak Siti muncul dengan album pertama lagi, saya menyukai bakat dimilikinya. Siti mula popular sewaktu zaman saya di sekolah menengah dan rakan lain juga turut menjadikan dia sebagai idola.

“Boleh dikatakan kami membesar dengan lagu dendangannya. Minat mendalam pada Siti juga membuatkan saya dan beberapa rakan baik sanggup beratur berjam-jam lamanya untuk bertemu dengannya selepas selesai menyaksikan konsert yang diadakan Siti,” katanya.

Perkara kedua yang membuatkan Lofa suka kepada Siti adalah cara dia menjaga keperibadiannya termasuk dalam menangani kontroversi dan gosip dunia hiburan.

Katanya, apabila menyertai dunia hiburan dia banyak menjadikan Siti sebagai rujukan. Malah dia banyak membaca artikel disiarkan media mengenai Siti dan mengkaji bagaimana dia menjawab setiap soalan yang diajukan terutama isu-isu panas.

“Selalunya panas bagaimanapun isu dikaitkan dengan dirinya, Siti tidak pernah lari malah memberikan kerjasama baik dan menjawab setiap soalan. Bagusnya, segala jawapan diberikan bernas sekali gus menangkis segala isu yang cuba dikaitkan dengan dirinya,” katanya.

Lebih daripada itu, Neelofa juga melihat bagaimana idolanya bekerja keras dalam membina nama sebagai anak seni mahupun ahli perniagaan.

“Saya percaya kalau seseorang itu bekerja keras, dia pasti mampu mencipta kejayaan. Siti membuktikan perkara itu apabila dia memenangi ratusan anugerah.

“Ini bermakna Siti memberikan yang terbaik dalam setiap kerja dilakukan dan disebabkan itu pihak industri sendiri mengiktiraf sumbangannya.

“Saya selalu menjadikan Siti contoh untuk mencapai kejayaan. Siti melalui banyak cabaran dan dugaan sepanjang bergelar anak seni tetapi tidak ada satupun yang mampu mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dan terus memberikan yang terbaik kepada peminatnya,” katanya.

Neelofa akui bertuah apabila terjun ke dalam dunia hiburan memberikan ruang untuknya selalu bertemu dengan idolanya sehinggalah kini mereka semakin akrab dan bersahabat.

“Walaupun sudah menjadi rakan, saya tetap hormat dan Siti Nurhaliza tetap idola saya. Lebih daripada itu, saya anggap dia seperti kakak yang prihatin kepada adik-adiknya.

“Banyak juga perkara yang saya rujuk kepadanya sebagai panduan. Satu perkara, idola saya memang tidak kedekut ilmu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...