Manakala, dalam doa awal tahun pula, antara maksud doa yang terkandung adalah, "Daku memohon pertolonganMu mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan, dan daku juga Memohon pertolonganMu dalam usaha mendekatkan diri kepadaMu", maksud ini turut menjelaskan bahawa, diri kita yang lemah, perlu berdoa kepadaNya agar lebih mudah mendekatkan diri kepadaNya.
Menerusi perkongsian di atas, admin ingin kaitkannya, dengan coretan seorang gadis yang berusaha untuk kembali ke jalan Allah SWT, walau melalui banyak cubaan dan liku-liku, namun tetap istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke jalan kebenaran, mari kita hayati penulisan gadis ini, dan diharap dapat membuatkan kita berusaha menjadi insan yang diredhaiNya. In Shaa Allah.
Sebagai mukadimah, biarlah saya memperkenalkan diri secara ringkas. Panggil saja saya Ja Saya kini berumur 24 tahun. Orang borneo. Ketika di sekolah rendah, saya bersekolah di sekolah rendah pedalaman, di mana majoriti non-muslim. Hanya minoriti Islam, dari bilangan keseluruhan pelajar sekolah yang hanya lebih kurang 150 pelajar dari tahun 1 hingga 6. Ibu bapa saya bercerai ketika saya berumur 10 tahun. Ibu membawa diri entah ke mana, bapa pula tinggal di daerah lain, bersama isteri baru. Tinggallah saya berdua bersama seorang abang dan seorang pembantu rumah. Saya dan abang lebih selesa buat hal masing-masing. Sejak itu, tanggungjawab menjaga kami, diserahkan kepada pembantu rumah. Dan bapa pula? Jika sebulan dapat berjumpa dengan beliau, itu pun dah bersyukur.
Sejak kecil, saya sememangnya kurang didedahkan tentang agama. Hanya berharap belajar di sekolah, itupun belajar yang basic. Tahulah serba sedikit tentang alif ba ta. Itu pun sekadar menghafal. Tetapi huruf saya kurang kenal. Mujur, ustazah dan ustaz begitu ambil berat tentang saya (moga Allah merahmati mereka), sekurang-kurangnya nya tahu lah saya pelajar Islam perlu memakai tudung. Saya mula memakai tudung sekolah ketika darjah 4, tetapi jujur, sejak skolah rendah, saya tidak tahu kita perlu puasa. Dengan selamba ketika bulan ramadan, saya makan di dalam kelas bersama rakan-rakan non muslim saya.
Alhamdulillah, dalam keadaan masih belum kenal Tuhan, Allah berikan kelebihan dalam pelajaran. Masuk sekolah menengah, saya duduk di kelas terpilih. Semuanya bijak-bijak. Tetapi sayang, di dalam kelas saya, pelajar Muslim tidak sampai pun separuh bilangan pelajar dalam kelas. Ketika itu, saya baru kenal erti puasa, dan juga solat. Ya solat. Memandangkan kami pelajar sesi petang, jadi kami diwajibkan solat Zohor dan Asar. Terpinga-pinga saya pada awalnya. Ya, saya tidak tahu kita perlu solat lima kali sehari. Saya ingatkan kita hanya perlu solat dua kali sehari. Itu pun saya kerap melarikan diri dan sering kali dikenakan tindakan disiplin. (Ketika itu, pelajar Muslim yang ponteng solat tanpa sebab yang kukuh akan dikenakan tindakan disiplin). Sungguh, liat sungguh diri saya. Astaghfirullah.Semuanya bermula ketika saya masuk Tingkatan 4. Ketika itu, bapa mengambil keputusan untuk mengajak saya tinggal bersamanya. Saya mulanya tidak kisah. Tetapi mula kisah apabila saya yang berasal dari bandar perlu bersekolah di sekolah luar bandar. Sungguh, ketika itu saya rasa maruah saya tercalar. Lagi teruk ketika permohonan untuk memasuki kelas Sains Tulen ditolak hanya disebabkan saya kurang 1 A dalam PMR. Automatik, semangat saya merudum. Ditambah pula dengan mak tiri yang tidak menyukai saya. Akhirnya seawal umur 16 tahun, saya jadi murung. Saya banyak berkurung dalam bilik, dan enggan ke sekolah.
Sudah tentu keputusan SPM saya merosot. Saya tidak berjaya melepasi UPU, maka saya terus kuatkan hati ambil STPM. Sebagai orang yang penuh ego, kali ini saya pulun habis-habisan untuk merawat kekecewaan SPM.
Ketika di Tingkatan 6, saya sekelas dengan seorang yang dulunya seorang yang begitu aktif dan free hair. Saya dapat tahu, ketika Tingkatan 4, dia berubah mendadak dan berpenampilan seperti ustazah. Walau dulu satu sekolah, berlainan kelas, ditakdirkan sekelas ketika Tingkatan 6. Entah mengapa, saya begitu tertarik kepada beliau kerana kelembutannya. Tetapi saya masih menjarakkan diri dengannya.
Selesai STPM, saya kembali ke sikap lama. Sekali lagi ego saya tercalar, apabila saya tidak diterima ke IPTA walaupun keputusan ok. Malah, rakan yang lebih rendah pointernya berbanding saya berjaya ke IPTA. Saya rasakan Allah tidak adil. Sekali lagi, saya terbabas dari jalan, apatah lagi sahabat saya sudah berada jauh dari saya. Saya terkontang-kanting sekali lagi. Saya kerap bertanya, “kenapa Tuhan buat saya begini? Kenapa saya tidak berjaya seperti orang lain?”
Rupanya, jalan saya berbeza. Ketika semua sibuk melanjutkan pelajaran, saya yang masih duduk di sini, Allah temukan saya dengan seorang Murabbi. Murabbi yang juga sangat lembut. Saya yang kasar, sekali lagi tertarik untuk kembali kepada fitrah.
Duduk dalam majlis, buat pertama kali saya dengar tentang kisah Nabi yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Tentang pengorbanan nabi, tentang ujian nabi. Buat pertama kalinya, saya menangis mendengar kisah Nabi. Ya, saya yang penuh ego buat pertama kalinya mengalirkan air mata mendengar kisah seseorang yang saya tidak kenal. Begitu dahsyatnya kisah kekasih Allah itu.
Seperti biasa, hanya ketika itu saja saya insaf. Tetapi kadang dalam solat yang tidak tentu, saya sentiasa berdoa semoga Allah membuka jalan seluasnya buat saya agar kembali kepada agama saya.
Saya pernah menangis ketika berumur 20 tahun kerana langsung tidak boleh membaca Al-Quran. Ketika berumur 20 tahun, saya baru tahu rupanya wanita islam bukan hanya menutup kepala, tetapi perlu menutup aurat. Saya menangis kerana malu tidak tahu apa itu ayat Kursi. Saya terlalu jahil. Saya malu pada Allah.
Sesungguhnya, kasih Allah itu tiada bandingan. Dalam jahilnya dan egonya saya pada-Nya, tetap saja dia menuntun langkah saya agar kembali kepada-Nya. Saya tidak sedar, dibalik nikmat yang telah diambil dari saya, Allah telah gantikan dengan yang lebih baik, iaitu kenal Islam. Ah, saya lagi teruk dari mereka yang muallaf.
Saya menangis semahu-mahunya di hadapan Murabbi. Saya malu pada Allah. Saya malu pada Rasulullah SAW. Dengan tenang sang Murabbi menjawab, “pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk hamba-Nya”
“Kenapa hati saya terlalu keras? Walau saya mula tahu sedikit tentang agama, masih saja ego kuat mencengkam”
Sang Murabbi menjawab, “sebab kita tidak kenal siapa Nabi. Ramai anak muda sekarang jauh daripada Allah, kerana mereka tidak kenal Nabi. Tidak tahu sirah Nabi. Tidak tahu tentang pengorbanan Nabi supaya kita dapat merasakan nikmat Islam pada hari ini”
Walaupun saya Islam sejak lahir, namun saya hanya kenal agama sendiri ketika berumur 20 tahun. Baru 4 tahun, dan masih terlalu awal untuk saya. Masih banyak yang saya perlu belajar. Doakan saya agar sentiasa kuat dan istiqamah pada jalan ini.
Buat pembaca sekalian, terima kasih jika sudi membaca nukilan saya. Kadang saya begitu kecewa apabila kita dengan mudahnya menilai dan menghukum seseorang. Sebagai hamba Allah yang penuh dosa, saya faham, kadang ada antara mereka sebenarnya masih tercari-cari jalan sebenar. Walau nikmat dunia dipenuhi, hati masih saja kosong. Saya faham. Terlalu faham. Apatah lagi mereka yang memilih jalan hitam, ada antara mereka bukannya tidak mahu berubah, saya percaya di hati mereka pasti terselit keinginan untuk menjadi hamba yang Allah redha, cuma kerisauan terhadap sikap masyarakat yang suka menghukum menyebabkan niat yang terpendam terus terbenam.
Marilah bersama-sama kita membantu. Kerana tugas daie itu menyampaikan, bukan menghukum. Bukankah kita sebenarnya saudara seagama? Dan sudah pasti tujuan kita adalah sama-sama melangkah ke syurga Allah.
Dan buat mereka yang masih tercari-cari, sungguh jika mahu berubah, pasti muncul pelbagai kerisauan di minda. Memilih untuk berubah itu tidak mudah, tetapi berusaha untuk cekalkan hati. Perlahan-lahan tidak mengapa, asalkan istiqamah. Sekurang-kurangnya jika ajal menjemput, kita dalam usaha untuk dekatkan diri kepada Allah. Tiap usaha kita akan di catat oleh Malaikat. Ingatlah, ujian yang kita lalui tidak sehebat ujian yang dilalui Rasulullah SAW, dan para sahabat.
Mohon maaf jika tulisan ada yang membuatkan sesiapa terguris hati.
Moga kita sentiasa dalam redha Allah.
0 comments:
Post a Comment