Foto : MG |
Kelantan, 5 Sept - Seorang guru di sebuah sekolah rendah di sini meminta agar Pejabat Pendidikan Daerah turun padang melihat sendiri bagaimana makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) disediakan untuk murid-muridnya.
Menerusi laporan dari Malaysia Gazette (MG), guru yang enggan namanya disiar itu berkata dia sedih apabila melihat menu makanan pagi untuk murid miskin tegar itu disediakan seperti nasi kosong dengan lauk separuh potongan sosej.
Beliau juga menambah, pihak yang bertanggungjawab menyediakan makanan RMT tidak sepatutnya menyediakan menu seperti itu walaupun harga yang disediakan kerajaan hanya RM2.50 bagi seorang murid.
Menceritakan kejadian, guru tersebut berkata dia pada mulanya terkejut melihat makanan yang dihidangkan atas meja tidak terusik.
"Pagi tadi saya turun ke kantin sekolah, saya terkejut melihat makanan yang dihidangkan atas meja tidak terusik.
"Saya tanya beberapa murid yang ada di situ kenapa tidak makan nasi disediakan. Mereka jawab tidak ada selera.
"Kemudian saya ambil makanan itu dan setelah melihatnya sendiri, baru saya tahu kenapa murid hilang selera untuk makan," katanya.
Portal MG juga melaporkan, menurut pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 19 Januari 2016, pelaksanaan program RMT bertujuan menyediakan makanan berkhasiat yang mengandungi nutrisi seimbang kepada murid bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam kelas.
Sumber : MG
0 comments:
Post a Comment