Nama Mohd Faiz Subri menjadi sebutan ramai di seluruh dunia selepas pemain skuad bola sepak Pulau Pinang itu menjaringkan satu gol istimewa malam tadi.
Faiz menjadi sanjungan ramai apabila tendangan bebas yang dilakukannya dari jarak 35 meter, melengkung masuk ke gawang gol dalam satu perlawanan Liga Super Malaysia.
Laman berita dalam talian British Independent (www.independent.co.uk) melaporkan bahawa tendangan bebas Faiz yang amat luar biasa itu pasti manjadi calon bagi Anugerah Puskas FIFA 2016.
"Faiz Subri akan menjadi pesaing bagi anugerah yang mengiktiraf gol terbaik pada tahun ini hasil jaringan daripada tendangan bebasnya yang sungguh luar biasa itu.
"Tendangan pemain berusia 28 tahun ini bukan sahaja mengejutkan penjagol gol pasukan lawan, malah dianggap bercanggah dengan hukum fizik.
"Tendangan Faiz sungguh berbisa kerana setelah bola pada mulanya menghala ke suatu arah, ia kemudian melencong ke arah lain dan menerjah ke penjuru gawang gol," kata laporan itu.
Gol itu dijaringkan dalam perlawanan antara Pulau Pinang dengan Pahang di Stadium Bandaraya, yang sekali gus membantu Pulau Pinang menang 4-1.
Portal berita itu juga memuat naik video sepanjang 17 saat mengenai jaringan gol tersebut daripada siaran langsung melalui saluran televisyen TV9.
Gol yang dijaringkan pada minit ke-62 itu juga menjadikan Mohd Faiz bahan 'trending' dalam laman Twitter.
Tendangan bebas Mohd Faiz itu pasti mengembalikan ingatan para peminat bola sepak kepada gol jaringan pemain Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1998.
Jaringan Mohd Faiz dikongsi peminat bola sepak di seluruh dunia melalui media sosial.
Anugerah Puskas diperkenalkan FIFA pada 2009 bagi mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik pada sesuatu tahun.
0 comments:
Post a Comment