KOTA BHARU – Jenama Datuk Seri Vida (DSV) bakal menjadi jersi rasmi pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.
Malah, isu warna jersi yang sebelum ini menjadi pertikaian turut selesai selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menggunakan warna merah serta merah jambu apabila beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV.
Penaja utama PQPTRW, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida yang juga Penasihat Kehormat Kafa berkata, skuad kendalian K. Devan bakal menggunakan empat jersi yang dikeluarkan oleh syarikatnya melibatkan aksi di tempat sendiri dan gelanggang lawan sepanjang saingan 2016.
“Bagi aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, kita akan guna warna merah dan merah jambu, bagi mengekalkan tradisi pasukan. Dalam perlawanan di tempat lawan, kita guna dua jersi dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih.
“Pasukan pereka yang dilantik sudah menyiapkan rekaan untuk kesemua jersi tersebut. Ketika ini, kita berdepan masalah untuk susun atur kedudukan setiap logo yang akan ada pada jersi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, empat jersi tersebut akan dikeluarkan terlebih dulu pada Februari, manakala jersi eksklusif berwarna merah dan barangan rasmi pasukan bakal dilancarkan pada April depan.
Dr. Vida berkata, penyokong tidak perlu bimbang dengan kualiti jersi kerana ia setanding jenama bertaraf antarabangsa yang ada di pasaran ketika ini dan dihasilkan menggunakan kain berkualiti tinggi.
Dalam perkembangan lain, Dr Vida memberitahu, isu kontrak Kelantan bersama Nike yang berbaki setahun sudah diselesaikan secara baik dengan syarikat pengeluar, pengedar serta pembekal jenama berkenaan iaitu HORC Sports Sdn. Bhd.
Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya telah mendapat keizinan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan warna merah dan merah jambu sebagai jersi utama mereka.
Katanya, perkara itu juga turut dimaklumkan kepada pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang menguruskan liga musim ini.
“Saya nak tegaskan untuk musim 2016 tiada ada istilah jersi nombor satu atau dua dan ramai orang salah faham tentang isu ini.
“Jersi tak payah daftar, tetapi yang perlu daftar adalah warna. Tujuannya bila pasukan lain datang, mereka tahu tuan rumah pakai warna apa.
“Warna jersi untuk tempat lawan kebiasaanya kita menggunakan warna biru. Mungkin musim ini kita akan pakai warna biru dan merah jambu seperti yang diminta oleh pihak penaja,” katanya kepada pemberita selepas tamat aksi persahabatan Kelantan menentang kelab Thailand, Yala FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.
0 comments:
Post a Comment