SELEPAS tujuh tahun, akhirnya Tan Sri Annuar Musa tampil bersuara betapa beliau tidak lagi mampu menduduki kerusi nombor satu itu setelah dihimpit cabaran demi cabaran terutama masalah kewangan dalam mengurus badan induk bola sepak negeri itu.
Katanya, jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini bukan lagi bertaraf eksklusif sebaliknya kini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat asalkan bersedia memikul beban untuk menerajui persatuan itu.Ini kali kedua Annuar menawarkan jawatan presiden itu secara terbuka selepas menyuarakan hasrat tersebut menerusi entri laman sosial miliknya 22 Disember lalu.
Katanya, Kelantan yang mencetuskan kebangkitan pentas bola sepak negara dihukum fenomena yang mereka ciptakan sendiri setelah begitu banyak negeri tampil berbelanja besar sekali gus menutup ruang pasukannya bersaing.
“Saya sendiri secara peribadi merasakan keupayaan saya cukup terbatas untuk menyaingi persatuan bola sepak negeri lain yang dipimpin individu yang berkedudukan dan berkuasa di negeri masing-masing.
“Sebab itu, saya menawarkan diri dalam kongres hari ini, sekiranya ada pengganti, boleh tampil ke depan menggantikan saya supaya orang lain boleh mengangkat Kafa ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Namun begitu, Annuar tetap meletakkan syarat tidak akan berundur selagi belum ada mana-mana pihak tampil menggantikan beliau yang akan terus menerajui badan induk bola sepak Kelantan itu sehingga 2017.
“Kalau tak ada orang, maka saya tak sanggup tinggalkan begitu sahaja. Letak jawatan tak akan selesai masalah. Saya tak mahu usaha yang saya buat selama ini berkubur dengan tindakan saya. Ia juga tidak adil kepada bola sepak Kelantan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment