BERCUTI di pantai sudah biasa, ke taman tema air anak mungkin dah tak teruja, jadi mana lagi nak bawak anak waktu cuti sekolah ni?
Bagi orang Pantai Timur atau Selatan tanah air, apa kata bawa famili mendekati alam ke negeri sebelah utara.
Bukan ke Langkawi atau Pulau Pinang tapi di Yan, Kedah. Terletak di kawasan yang dipanggil Rice Bowl of Malaysia, mata akan segar bila melihat hamparan hijau sawah padi saujana mata memandang selain keindahan Gunung Jerai.
Untuk penginapan, boleh pilih tiga lokasi ini. Ia sedikit tersembunyi dan ada kemungkinan orang Kedah sendiri pun kewujudannya. Terletak di kampung dan di puncak bukit, ia di kelilingi suasana damai cukup sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan.
1. Zamani’s Place
Ia merupakan resort seakan kediaman untuk memberi pengunjung perasaan seperti berada di rumah sendiri. Zamani’s Place ini di kelilingi kawasan sawah padi dengan Selat Melaka dan juga Gunung Jerai menjadi latar pemandangannya.
Berdekatan dengan pekan Yan Besar, selain menikmati keindahan kampung anda yang suka mencuba makanan tradisi boleh puaskan selera anda kerana ia banyak terdapat sekitarnya.
2. Anjung Menjaro @ Teratak Ayahanda
Lokasinya di Titi Hayun, Yan. Ia lebih kepada homestay, jadi bagi yang memang nak merasai kehidupan kampung sesuai sangat menginap di sini. Terdapat beberapa buah rumah yang boleh dipilih untuk didiami, semuanya rumah kayu.
Keadaan dalam rumah ini juga persis macam rumah di kampung sendiri. Suasana di sini nyaman, dan anak-anak pula pasti teruja bila melihat tiga buah kolam yang disediakan untuk mandi manda.
Airnya memang sejuk kerana sumbernya dari air terjun di kawasan berhampiran. Kalau datang dengan keluarga yang besar, di sini juga disediakan dewan untuk anda membuat aktiviti.
3. The Regency Jerai Hill Resort
Resort yang satu ini mungkin diketahui oleh orang Kedah tapi tak ramai orang luar tahu tentangnya. Ia antara resort di kawasan tanah tinggi kerana terletak di Puncak Jerai.
The Regency Jerai Hill Resort dibina 1200 meter dari aras laut di puncak Gunung Jerai yang merangkumi lanskap indah seluas lima ekar. Dari ketinggian itu sudah tentunya pemandangan di sini memukau.
Selain pemandangan menghijau Gunung Jerai sendiri, dari sini juga anda boleh melihat pulau-pulau yang berdekatan. Lokasi percutian ini boleh jadi alternatif percutian selain ke Cameron Highland atau Bukit Tinggi yang sudah biasa jadi tumpuan.
Macam mana berminat ke sini musim cuti nanti? Tapi berkunjung ke tempat-tempat ini tak semestinya bersama famili sahaja, dengan teman-teman pun seronok.
Tak salah juga kalau ingin pergi bersendirian, terutama bagi yang mahu mencari ketenangan. Di tempat tersembunyi begini anda mungkin memperoleh kedamaian yang dicari.
##Rencana ini dipetik dari laman web www.vanillakismis.my
0 comments:
Post a Comment