DAHULU, majalah hiburan berbentuk kartun APO? dan Ujang bukanlah nama yang asing bagi masyarakat tempatan di negara ini.
Setiap hujung bulan, majalah yang memaparkan pelbagai versi lawak ini pasti menemui peminat mereka yang sanggup bersantai di kedai buku semata-mata untuk membaca karikatur kegemaran mereka.
‘Perisa’ dan ‘warna’ dalam majalah karikatur popular itu bukanlah suatu yang asing lagi, bahkan setiap kartunis APO? dan Ujang mempunyai pengikut dan peminat mereka tersendiri.
Namun setelah tamatnya secara rasmi syarikat penerbitan majalah kartun APO? Dan Ujang, MOY Publication, ramai di antara kita tidak lagi dapat mengikuti hasil karya dan perjalanan kartunis majalah yang diminati ramai ini.
Ramai di antara kita yang tertanya-tanya, ke mana perginya kartunis-kartunis ‘Lawak Antarabangsa’ itu?
Kartunis majalah APO?, Anuar Hassan atau lebih popular dengan nama samaran, Sireh, ada jawapannya.
Menurut Sireh, selepas penutupan MOY publication, sebahagian besar kartunis yang berkarya di situ mengorak langkah dan mencorak haluan masing-masing.
Setelah ketiadaan MOY Publication, Kartunis Manggis, Spider dan Petai memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan hidup dan sebahagian kecil kartunis lain meneruskan minat dan usaha mereka untuk berkarya di syarikat penerbitan lain.
“Kartunis Ayoi, Papan, Lalang, Jumper, Bawang dan beberapa yang lain ditawarkan untuk berkarya di syarikat2 penerbitan yang lain, Lambok, Oren dan Chendol pula berkolaborasi di dunia komik online iaitu Bekazon.com.
"Pandan dan Lengkuas sedang berusaha menyiapkan proposal untuk projek-projek sendiri,” katanya kepada Sinar Online.
Tambah Sireh lagi, dia bersama rakan seperjuangannya, Sagu kini menjadi pelukis karikatur bebas manakala rakan mereka yang lain, Rambai dan Eisu menceburkan diri dalam bidang animasi penyiaran televisyen tempatan dan sedang mengorak langkah ke peringkat antarabangsa.
“Ada juga bercita-cita untuk menjilidkan kembali karya-karya lama yang pernah popular dalam bentuk koleksi nostalgia mengikut permintaan peminat seperti karya-karya jenaka Lambok, Bersama Selamanya (Gayour), Blues Untuk Aku (Aie) dan Student Life (Sireh).
"Alhamdulillah, sebahagian besar pengkarya sudah ada perancangan masing2. Saya doakan segala perancangan mereka berjaya,” katanya lagi.
Sireh kini berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang Animasi dan Visual FX di Multimedia Universiti (MMU).
Jelas Sireh, penutupan syarikat penerbitan MOY tidak melunturkan semangat kartunis di bawah naungannya untuk berkarya, sebaliknya, ia memberikan peluang kepada kartunis untuk terus mengembangkan bakat masing-masing.
“Kebanyakan kartunis yang pernah berkarya di Majalah Ujang dan MOY sudah pun memiliki pengalaman dan skill yang diperlukan untuk berjaya. Kini sudah tibalah masanya untuk masing-masing berdikari dan mencorakkan masa depan mereka sendiri,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment