TANAH MERAH - Seorang pembantu jualan dari Perumahan Awam Kusial Baru, di sini, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban menampung kos rawatan isterinya yang menderita ketumbuhan dalam kepala.
Ahmad Muji Abdullah, 34, berkata, ketumbuhan atau tumor dihidapi isterinya, Nik Rosliana Mohamed, 33, mula dikesan selepas menjalani pemeriksaan di hospital dan dimasukkan ke wad, awal Oktober lalu.
Katanya, sebelum itu, isterinya sering mengalami sakit kepala sehingga mengganggu aktiviti harian, namun masih mampu bertahan dengan mengambil ubat tahan sakit.
“Dia sudah lama sakit kepala cuma awal Oktober lalu, sakitnya bertambah teruk dan tidak tahan walaupun makan ubat hingga terpaksa buat pemeriksaan di hospital.
“Hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesan dua ketumbuhan di bahagian kanan dan kiri kepala dia. Sejak itu, dia terpaksa berulang alik ke hospital,” katanya, semalam.
Menurut Ahmad Muji, keadaan tersebut secara tidak langsung menyebabkan pendapatannya terjejas kerana kerap mengambil cuti untuk menghantar dan menemani isterinya di wad.
“Dia baharu keluar hospital semalam selepas doktor masukkan tiub dalam kepala bagi mengurangkan tekanan dalam otak dan disyorkan supaya menjalani pembedahan besar bulan depan,” katanya.
Katanya, dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan sebelum dipotong kerana cuti, dia kini buntu memikirkan pembedahan tersebut yang pasti memerlukan kos tinggi.
“Walaupun dibayar gaji bulan, gaji akan dipotong jika saya tak datang kerja (cuti) dan selepas pembedahan nanti, makin kerap saya terpaksa ambil cuti, makin kurang pendapatan.
“Selain kos rawatan isteri, saya juga kena fikirkan perbelanjaan lima anak termasuk empat yang akan bersekolah pada tahun depan,” katanya yang memiliki anak berusia 3 bulan hingga 11 tahun.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan terus ke dalam akaun Nik Rosliana di 03054020446284 (Bank Islam) atau hubungi Ahmad Muji (013-9669946).
0 comments:
Post a Comment