loading...

Thursday, 10 November 2016

SPRM Tahan Pengarah GLC, RM2.5 Juta Dibeku



PETALING JAYA: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah guna kuasa dan rasuah.

Menurut sumber, pasukan siasatan SPRM menahan suspek berusia 56 tahun itu di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 9.35 pagi Khamis.

"SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga kenderaan iaitu dua kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya.

"SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah," kata sumber itu.

Suspek mempunyai tiga anak.

Suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2010 juga disyaki bertindak menamatkan perkhidmatan kira-kira 20 pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengan perbuatannya.

"Pegawai tersebut juga dipercayai telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan," kata sumber itu lagi.

Selain itu suspek turut memiliki sembilan rumah yang dipercayai dibeli secara tunai.

"Kesemua rumah itu dibeli di Putrajaya (3), pusat bandar Kuala Lumpur (1), Cyberjaya (1) dan Negeri Sembilan (4) bernilai lebih kurang RM 8 juta," katanya.

Difahamkan suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Penahanan pegawai kanan GLC itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...