Anak anugerah terindah daripadaNya kepada hambaNya, namun, setiap pertemuan sudah pasti ada perpisahan, itulah yang terjadi kepada seorang ibu yang kehilangan anaknya yang sudah enam tahun dibelai dan dimanja.
Beliau telah kehilangan anaknya Allahyarham Khawlah Sakinah, 6, pada Oktober lalu selepas dilaporkan lemas ketika mandi di sebuah kolem renang bersama rakan-rakannya.
Untuk meluahkan rasa sedih, Puan Aqilah Nor sering kali memuatnaik status di laman Facebooknya mengenai luahan rasa kehilangan anak tersayang yang pergi menghadap PenciptaNya selamanya.
Masa saya bersama Sakinah telahpun berlalu pergi dan tak akan berulang lagi di dunia ini. Banyak benar kekhilafan saya sendiri. Saya bukan ibu mithali, jauh sekali!
Enam tahun ini, banyak benar silap saya pada dia dan banyak benda saya terleka. Saya lupa memeluknya setiap masa, lupa menyatakan rasa cinta, lupa menghargainya sepenuh jiwa. Itulah saya, ibu yang penuh cacat cela.
Tetapi, dia selalu memberi di saat saya suka atau berduka. Dia ada buat saya setiap masa. Dia selalu menzahirkan rasa cinta buat ibunya. Hari-hari tidak pernah kecewa mengungkap cinta, sama ada secara lisan mahupun lukisan. Itulah bezanya saya yang hina dan dia yang mulia.
Maka, kembalilah dia ke pangkuan yang Esa. Dialah sebaik-baik Penjaga, sebaik-baik Pencinta. Memang itulah ganjaran terbaik buat dia.
Bertemulah dia dengan sahabat baru di sana. Sahabat yang menjadi syuhada. Berlari-larilah mereka bersama, girang dan teramat bahagia serta bebas dari huru hara dunia.
Duhai ibu bapa, hargai detik bersama keluarga. Kita tidak tahu saatnya bila, mereka akan diambil kembali padaNya. Kalian masih punya masa, semaikan cinta sepenuh jiwa. Mereka adalah amanah buat kita, pinjaman yang perlu dikembalikan apabila sampai masanya.
Ketahuilah Sakinah,
Senyuman ibu dan kegembiraan ibu di saat menerima kehadiranmu,
Rupanya sama malah lebih,di saat kau kembali padaNya.
Kau lahir tanpa sebarang dosa,
Kau pergi pun tanpa sebarang dosa
Kau ahli syurga.
Kenikmatan agung buatku.
Allah dan malaikat menjadi saksi, Sakinah...
Airmata yg tumpah bukanlah kerna kesedihan,
Tapi suatu kebahagiaan dan kegembiraan yang tak mampu di luah dengan kata.
Kerana dalam jutaan manusia,
Allah pilih ibu.
Allah nampak ibu,
Di saat ibu menggunung dosa.
Di saat ibu selalu alpa pada Dia.
Tapi Dia nampak ibu.
Dalam sujud,
Ku lepaskan rindu buatmu,
Ku lepaskan rasa terharu sepenuh hatiku.
Kerna memilih ibu !
0 comments:
Post a Comment