loading...

Tuesday, 20 September 2016

Tidak mempunyai sijil lahir menyebabkan seorang ibu muda sukar mendapatkan taraf kerakyatan.

TUMPAT – Tidak mempunyai sijil lahir menyebabkan seorang ibu muda, Rohana Che Harun, 20, sukar mendapatkan taraf kerakyatan.

Susahnya tiada Mykad

Rohana berkata, perkara itu berlaku disebabkan kurang pengetahuan tentang prosedur pendaftaran kelahiran selepas dia diserahkan sebagai anak angkat kepada bapa saudara.

“Saya dilahirkan di Kampung Kajang Sebidang dengan bidan kampung. Kemudian saya diambil sebagai anak angkat oleh bapa saudara sejak bayi lagi. Ibu dengan ayah saya tidak menetap di sini sebab mereka merantau ke Pahang,” katanya.

Tambahnya, disebabkan tiada sijil kelahiran, dia bersekolah rendah swasta di Wakaf Bharu manakala peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Ugama Arab Nurul Huda Kajang Sebidang.

“Saya belajar tak habis, setakat Tingkatan 2 saja. Semua tu sebab tak ada pengenalan diri. Bapa saudara dah usaha macam-macam. Dah beberapa kali dia naik-turun pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Sementara itu, bapa saudaranya, Che Ibrahim Che Omar, 53, berkata, dia sudah habis ikhtiar berusaha memohon pengenalan diri untuk anak saudaranya sejak Rohana berusia 12 tahun tetapi tidak berjaya.

“Buntu saya fikirkan masa depan dia sebab dah umur 20 tahun masih belum ada pengenalan diri. Macam orang pelarian pula, sedangkan kedua ibu bapa Rohana warganegara, tetapi disebabkan kurangnya pengetahuan tentang prosedur pendaftaran kelahiran, dia jadi mangsa,” katanya yang menetap di Kampung Kajang Sebidang.

Rohana telah berkahwin dengan lelaki tempatan, Zul Airill Shaiykhan Zul Hanizam dari Pasir Mas setahun lalu di Thailand dan kini dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayan Amisyar berusia dua bulan.

Che Ibrahim berkata, kedua ibu bapa Rohana, Saripah Taib, 52, dan Che Haron Ismail, 60, sudah pulang ke kampung halaman dan mereka juga berusaha untuk memohon kad pengenalan untuk anaknya itu.

“Saya merayu agar ada pihak dapat bantu kami menyelesaikan masalah ini demi masa depan anak saudara saya ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...