loading...

Saturday, 3 September 2016

Pandelela Terkedu Jadi Jutawan

KUCHING 3 Sept. - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengakui, lidahnya kelu dan dia hampir tergamam apabila menerima imbuhan bernilai RM1.3 juta atas kejayaan memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio, bulan lalu.

Pandelela mendapat durian runtuh dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta menerusi insentif kerajaan negeri sebanyak RM500,000, sumbangan dua syarikat swasta RM100,000 serta sebuah kondominium bernilai RM700,000.

Kata Pandelela, dia berasa sangat berbaloi atas pengorbanan yang diberikan selama ini dan bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh bersama rakannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama wanita.

“Cabaran dan halangan dilalui dengan tabah dan saya percaya ramai memberi sokongan terutama ibu bapa dan rakyat Malaysia, terima kasih semua.

“Sebelum Olimpik, saya berlatih dengan gigih selama lapan jam sehari, enam kali seminggu disamping banyak cabaran diharungi seperti kecederaan dan tidak dapat balik ke Kuching untuk meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Dia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pandelela Rinong di Dewan Suarah hari ini.

Tambahnya, dia perlu pergi ke China untuk berlatih, malah pelajaran banyak tertunda ekoran latihan luar negara.

“Akhirnya, pengorbanan ini berbaloi apabila saya dan pasangan mempamer terjunan yang kemas bagi memenangi pingat perak.

“Meskipun bertanding di sukan terbesar dengan cabaran daripada penerjun terbaik di dunia kami dapat peroleh kejayaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata, Pandelela telah membawa penghormatan, kegemilangan dan kebanggaan kepada semua rakyat negara terutama penduduk Sarawak.

"Kita juga ingin mengumumkan Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya dinamakan sebagai Pusat Akuatik Pandelela Rinong dengan harapan lebih ramai anak-anak muda lelaki dan wanita mengikuti jejaknya dalam menyumbang lebih banyak pingat di masa hadapan.

"Kita mendoakan agar Pandelela mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang yang mana kerajaan negeri yakin dalam masa empat tahun akan datang mendapat pingat emas olimpik bersejarah negara," katanya.

Terdahulu Pandelela disambut ratusan orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Dewan Suarah.

Syarikat Techninier Sdn Bhd. menyumbang RM100,000  atas kejayaan Pandelela Rinong, manakala Tenaga Stabil Sdn. Bhd. memberi sebuah kondominum lengkap dengan perabot bernilai RM700,000 di MJC, Batu Kawa disamping menamakan sebuah blok di situ sebagai Residence Pandelela.

Sumber : Utusan Online

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...