loading...

Thursday, 15 September 2016

MUNGKIN filem Train to Busan ini di-inspirasi-kan daripada al-Qur'an?

6 KISAH 'ZOMBI' DARI AL-QUR'AN

Viral filem terbaru dari Korea bertajuk "Train To Busan" yang bertemakan kisah zombi. Jadi sekarang masyarakat dunia beralih kepada kesukaan kepada filem ini pula. Tiada lagi kegilaan kepada k-pop?

ZOMBI (English: Zombie) adalah bersifat fiksyenal (fictional), iaitu rekaan dan imaginasi DAN TIDAK berasaskan sejarah atau fakta. Zombi digambarkan sebagai mayat hidup, iaitu orang yang sudah mati tetapi hidup kembali, biasanya dijumpai dalam karya ber-genre seram dan fantasi, berlaku disebabkan oleh magik (sihir), atau kesan sains (radiation, virus, tumpahan bahan kimia dan sebagainya).

Perkataan 'zombi' ini sudah mula disebut orang sejak tahun 1819 oleh Robert Southey, seorang penulis (puisi) dari Brazil. Sejak dari itu, ideanya telah dicedok oleh ramai orang, diolah kepada pelbagai karya, sehingga ke hari ini. Bayangkanlah, sekarang sudah tahun 2016. Betapa imaginasi seorang PENULIS yang berhati seni MEMPENGARUHI dunia dan mencetuskan sesuatu yang bersejarah.

Saya tak dapat nak komen apa-apa tentang #TrainToBusan sebab saya hanya tonton trailer (dan 10 minit awal). Tetapi saya baca sinopsis keseluruhannya, tentang kisah orang Korea ini melarikan diri daripada wabak 'penyakit' yang berlaku di Seoul, iaitu wabak zombi, menggunakan train KTX, ke sebuah stesen yang lain di Busan.

Subhanallah, pagi ini saya baca bahagian akhir surah al-Baqarah. Tergerak hati baca maksud ayat 243. Menitis air mata saya.......

MUNGKIN filem Train to Busan ini di-inspirasi-kan daripada al-Qur'an?

Sama ada kita tonton filem zombi atau tidak, saya ingin mengajak kita membaca sesuatu yang DEKAT dengan kita. Iaitu kisah-kisah MATI HIDUP SEMULA yang ada dalam al-Qur'an, iaitu surah al-Baqarah dan al-Kahfi). Kisah ini sepatutnya LEBIH MENAKJUBKAN DAN LEBIH VIRAL daripada kisah filem zombi Korea atau orang putih.

1. KISAH UMAT NABI MUSA AS DISAMBAR PETIR; MATI DAN DIHIDUPKAN KEMBALI

Puluhan orang umat Nabi Musa mempersoalkan kewujudan Allah swt dengan meminta bukti kekuasaan-Nya dan mengugut untuk murtad (kembali kafir) sekiranya tiada bukti. Lalu Allah swt menyambarkan petir kepada sebahagian mereka dan diperlihatkan kepada sebahagian yang lain, sebelum mereka semua disambar petir juga.

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
(Al-Baqarah 2:55)

Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah 2:56)

Setelah mereka semua mati disambar petir, Allah swt telah menghidupkan mereka semula dan memberi pengajaran supaya mereka bertaubat.

2. JAWAPAN KEPADA SIAPA PEMBUNUH SEORANG PENGIKUT NABI MUSA AS

Ada seorang pengikut Nabi Musa AS yang mati dibunuh. Semua orang bergaduh dan saling menuduh siapakah pembunuh kepada lelaki tersebut.

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
(Al-Baqarah 2:72)

Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
(Al-Baqarah 2:73)

Allah swt (melalui Nabi Musa) memerintahkan mereka untuk menyembelih seekor lembu betina dan menggunakan bahagian dari anggota tubuh lembu betina tersebut untuk memukul mayat itu.

Dengan kuasa Allah swt, mayat mati itu hidup kembali dan dapat memberitahu siapa pembunuhnya.

3. WABAK PENYAKIT YANG MEMBAWA MAUT

Kisah Train To Busan berkisarkan pelarian dari Seoul ke Busan. Dalam ayat 243 surah al-Baqarah, ada kisah kaum yang melarikan diri dari sebuah negeri kerana takutkan wabak penyakit yang menyebabkan kematian untuk menyelamatkan diri.

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu " kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
(Al-Baqarah 2:243)

4. SEORANG PEMUDA HIDUP SEMULA SELEPAS MATI SERATUS TAHUN

Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
(Al-Baqarah 2:259)

Kalau tak silap, kisah Nabi Uzair atau Nabi Khidzir. Saya tak pasti. Kena check.

5. KISAH NABI IBRAHIM AS MENYAKSIKAN BURUNG MATI DIHIDUPKAN SEMULA

Dalam minit-minit awal filem Train To Busan, ada babak seekor rusa mati dilanggar lori. Rusa tersebut hidup kembali dan jadi haiwan zombi.

Dalam kisah Nabi Ibrahim AS, pernah sekali Nabi Ibrahim meminta Allah swt tunjukkan kuasaNya menghidupkan makhluk yang mati.

Allah swt pun menghidupkan semula burung yang telah dikorbankan oleh Nabi Ibrahim AS.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Baqarah 2:260)

6. KISAH ASHABUL KAHFI

Kisah paling popular berkaitan beberapa pemuda Kahfi yang ditidurkan oleh Allah swt selama 300 tahun (Ayat 10-29 Surah al-Kahfi).

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".
(Al-Kahfi 18:10)

Mereka ditidurkan oleh Allah swt, bukan dimatikan. Tetapi tidur juga adalah 'mati kecil' atau 'mati sementara' dan akhirnya dihidupkan/dibangkitkan semula ke dunia untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab.

DISCLAIMER:
Saya bukan ahli tafsir Qur'an, jadi kalau salah silap, MOHON BETULKAN dengan baik. Saya tulis 'zombi' ye, bukan ZOMBI - ada maksud tersirat.

Penulis Dr Syahr Musafir; buku #HikayatBudakPhD, novel #IsteriUntukDia.
Like page Penulis Dr Syahr Musafir & Rahimah AR.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...