Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan yang dipetik portal Berita Harian Online.
“Dengan keazaman dan keberanian sebenar, hero kita membawa pulang tiga pingat emas menakjubkan buat Malaysia. Tidak pernah terfikir kita akan mendengar Negaraku dimainkan pada pentas tertinggi itu.
“Kami semua berbangga dengan mereka dan pengorbanan dilakukan. Dengan itu, DRB-Hicom berbesar hati menghadiahkan hero kita untuk mengerjakan umrah,” katanya.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio akan menerima ganjaran wang tunai RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000 seperti yang ditawarkan kerajaan kepada atlet Olimpik di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN).
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin pula mengumumkan hadiah seunit kediaman suite dan kenderaan SUV Kia Sportage kepada pemenang pingat emas negara di Paralimpik Rio.
Ia disusuli Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, pada Ahad, mengumumkan penerbangan percuma sepanjang hayat kepada tiga wira paralimpik negara yang berjaya menyumbang tiga pingat emas.
Malaysia setakat ini mengumpul tiga pingat emas, masing-masing daripada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) serta Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran)
0 comments:
Post a Comment