loading...

Monday, 12 September 2016

6 maut termasuk 2 beranak, 4 sepupu, Kereta Laluan Bertentangan Bertembung

GEMAS – Enam maut termasuk dua beranak dan empat sepupu lelaki selepas terbabit dalam kemalangan ngeri tiga kenderaan di kilometer tujuh, Jalan Gemas-Tampin, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pemandu kereta Produa Kenari, Rosilah Maamor, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara anaknya, Fawwaz Ahmad Syah Raizan, sembilan tahun,

disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat.

Sinar Harian difahamkan, empat daripada enam sepupu berusia lingkungan 13 hingga 22 tahun termasuk seorang rakan yang menaiki kereta jenis Proton Wira meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal di lokasi kejadian ialah Mohamad Haizal Mohamad Radzi, 20, sementara sepupunya, Muhammad Mu’az Mohamad, 13, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kem Syed Sirajudin Gemas.

Manakala, dua lagi sepupu yang maut, Muhamad Hazreen Saadon, 22, yang merupakan guru agama Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Palong, Jempol dan Muhamad Rizuwan Abdullah, 19, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat beberapa jam selepas kejadian.

Dua lagi mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dikenali sebagai Aiman ditahan di wad Hospital Segamat kerana mengalami kecederaan, sementara rakan baik arwah Muaz yang dikenali sebagai Naim berada dalam keadaan koma di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Ab Razak, sebuah lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dipandu oleh suami arwah Rosilah.

6 maut termasuk 2 beranak, 4 sepupu

“Berdasarkan siasatan awal, kenderaan jenis Proton Wira datang dari arah Gemas menuju ke Tampin, manakala, kereta jenis Produa Kenari dan Toyota Avanza datang dari arah Tampin menuju ke Gemas.

“Sebaik tiba di lokasi, dipercayai kenderaan jenis Proton Wira masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta jenis Produa Kenari.  Proton Wira berkenaan kemudiannya sekali lagi bertembung dengan kereta Toyota Avanza.

“Mangsa yang maut di lokasi kejadian dan di hospital Kem Tentera Syed Sirajudin Gemas di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

Hamazah berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, ibu saudara lima sepupu yang terbabit dalma nahas berkenaan, Naterah Mazlan, 48, berkata, sebaik mengetahui kejadian berkenaan, mereka sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba dia terkejut apabila melihat keadaan anak-anak saudaranya yang terbabit kemalangan.

“Bergelimpangan... ada yang di tengah jalan, ada yang di tepi jalan. Masa tu hanya Aiman yang masih sedar dan sedang duduk di tepi jalan.

“Mereka sepupu-sepupu ni memang rapat sangat, bila balik kampung berkumpul macam ni, mereka selalu bersama.  Seorang lagi rakan baik Muaz, Naim juga rapat dengan kami kerana telah dianggap seperti saudara sendiri.

Naterah berkata, ramai adik-beradiknya yang pulang ke kampung di Felda Sungai Kelamah memandangkan ibu mereka ingin beraya di kampung setelah beberapa minggu mendapatkan rawatan di wad Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

 “Opah mereka ni kurang sihat tapi nak beraya di kampung bagi meraikan anak dan cucu-cucunya.  Opahnya memang rapat dengan cucu-cucunya... jadi kami adik-beradik masih belum memberitahu kejadian ini kepada Opah kerana keadaan kesihatannya.

Sinar Harian difahamkan, jenazah empat sepupu berkenaan dijangka bakal dikebumikan dalam satu liang lahad di Felda Sungai Kelamah.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...