Klang: Suspek berusia 29 tahun yang menumbuk pemandu van di Jalan Sungai Udang, Klang, yang membawa kepada kematian mangsa petang semalam, direman tujuh hari mulai hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, suspek lelaki yang juga penduduk tempatan, disiasat mengenai motif tindakannya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, suspek meminta mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Izhharuddin Nordin memberhentikan van kerana tidak berpuas hati mangsa tidak mengambil anak saudaranya di sekolah agama.
Azman berkata, berlaku pertengkaran antara mereka dan suspek yang berada di luar van kemudian menumbuk mangsa beberapa kali sebelum beredar dengan motosikalnya.
Katanya, ibu mangsa pergi ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan kakak suspek yang menelefonnya memberitahu mengenai kejadian berkenaan.
“Setiba di lokasi, ahli keluarga mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.
“Suspek berjaya diberkas polis kira-kira sejam selepas menerima maklumat mengenai kes berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment