Jika sebelum ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia untuk melibatkan diri dalam sektor 3 D (dirty, difficult dan dangerous) jika tidak mahu pekerja asing dibawa masuk dan dia akan mengusahkan kenaikan gaji sektor berkenaan , kini sudah ramai belia Malaysia menceburi bidang berkenaan, lapor portal Malaysiakini.
Sebelum ini, ramai belia tidak berminat untuk menceburi sektor 3 D ini bukan kerana kerja berkenaan kotor tetapi gaji asas yang ditawarkan terlalu kecil yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
Seorang pemuda, Azrolnizam Sidek yang menyahut cabaran bekerja sebagai tukang cuci longkang menyatakan gaji kerja barunya ini hanya RM800 sebulan tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Saya cabar beliau untuk ubah keadaan ini. Naikkan gaji minumum daripada RM800 kepada kadar munasabah. Saya sendiri sudah menyahut cabaran timbalan perdana menteri,"katanya kepada Malaysiakini.
Ramai menyangka, kebanyakkan graduan berpendidikan tidak akan menceburi bidang ini, tetapi tahukah bahawa Azrolnizam, 24, ini memiliki diploma pengurusan perniagaan dan dia pernah bekerja sebagai pereka grafik dan menjadi sebahagian daripada jutaan warga Kuala Lumpur sejak 2014.
Namun, pada November lalu beliau terpaksa berhenti kerja demi menjaga bapanya yang uzur.
Dalam pada masa yang sama beliau yang mahir di dalam bidang fotografi membuat kerja sambilan sebagai jurugambar tetapi pekerjaan tersebut hanya bermusim.
Foto: Instagram Azrolnizam
Antara Disember hingga Januari dia mencuba nasib menjadi penoreh getah tetapi dengan harga getah yang jatuh teruk sehingga RM1.55 sekilogram itu membuatkan beliau terpaksa mengalah.
"Nak makan apa dengan pendapatan begitu?" katanya.
Kini, belia ini bekerja sebagai pencuci longkang di sebuah kilang simen di Negeri Sembilan di mana dia dan pekerja lain akan berjalan sejauh lapan kilometer setiap hari untuk mencuci longkang demi mencari rezeki.
"Belia negara ini juga bukan pemalas seperti disangka sesetengah orang," katanya merujuk kepada kenyataan dikeluarkan anak Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah sebelum ini.
Menurut Azrolnizam, dia mempunyai diploma tetapi menyahut cabaran Ahmad Zahid bagi membuktikan bahawa ramai belia tidak terlibat dalam sektor ini bukan kerana malas,
"Salah seorang pekerja yang bersama-sama saya mencuci longkang sekarang adalah remaja lelaki yang baru menghabiskan peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),"katanya.
Buat masa ini Azrolnizam adalah pencuci longkang 'profesional' dan sesekali menjadi jurugambar apabila ada permintaan.
"Kalau tak percaya, pergilah lihat Instagram saya, @azrolnzam," katanya.
0 comments:
Post a Comment