loading...

Tuesday, 12 January 2016

'Nak Jerit Tetapi Dia Ugut Saya Dengan Pisau Di Perut'


Bagi yang perempuan, kalau naik bas balik cuti sem ke, saya cadangkan cari dulu single seat. Kalau dah habis single seat, saya cadangkan pula beli terus tiket kedua-dua seat. Biarlah duit melayang asalkan maruah terjaga. Kalau sudah tiada jalan dan dapat pula double seat serta ditakdirkan sebelah kamu lelaki, minta tukar seat dengan sesiapa. InshaAllah orang itu faham. Tetapi yang paling baik, jangan balik seorang diri. Balik dengan rakan yang boleh dipercayai dan itulah yang terbaik.

Saya dulu ada pengalaman. Saya naik bas nak balik rumah saya di Pulau Pinang. Dipendekkan cerita, semasa bas itu berhenti di perhentian untuk berehat, saya nampak ada seorang gadis tak berhenti-henti menangis.

Pada mulanya saya malas nak mengambil tahu tetapi saya tengok dia seperti ada masalah, lalu saya pun bertanya.

"Kenapa cik menangis? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" soal saya pada dia yang hanya mendiamkan diri dan semakin kuat pula tangisannya. 

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya dia membuka mulut untuk bercerita. Rupa-rupanya semasa dia duduk di couple seat itu, ada warga asing yang meraba-raba dan cuba mencabul dia. La haw la wala quwwata illa billah. 

"Kenapa tak menjerit atau buat apa-apa tindakan?" soal saya lagi.

Rupa-rupanya warga asing itu mengugut dirinya.

"Saya nak menjerit tetapi ada pisau di sebelah perut saya. Saya terlalu takut dan tak tahu nak buat apa pada masa itu. Saya terpaksa membiarkan diri saya dijamah olehnya," katanya.

"Mana warga asing itu sekarang?" mata saya mula melihat sekeliling. 

"Dia dah turun dah," katanya. 

Kalaulah lelaki itu masih berada di sekitar ini, saya nak saja beritahu pemandu bas itu agar boleh ambil tindakan terhadap lelaki durjana itu.

Sewaktu dia menceritakan kejadian itu kepada saya, memang terasa geram sangat dan terasa mahu saja membelasah lelaki warga asing itu. Bukan nak tunjuk hero tetapi saya fikir bagaimana jika yang menjadi mangsa lelaki miang itu adalah keluarga saya sendiri?

"Sekarang cik pergi duduk di tempat saya yang single seat itu dan saya duduk di tempat cik," arah saya pada dia yang akur saja. 

Wajah dia memang nampak trauma sangat. Saya boleh rasa perasaan dia pada ketika itu. Kasihan sungguh.

Selepas kejadian itu, saya termenung memikirkan bagaimanalah negara Malaysia kita pada masa akan datang. Dengan warga asing yang berjuta-juta diimport masuk ke Malaysia, Allahurobbi. 

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...