loading...

Sunday, 17 January 2016

Kami Makan Di FizoMawar Kitchen Dan Ini 5 Perkara Yang Kami Lalui

Isu panas yang melanda Restoran FizoMawar Kitchen milik dua ikon terkenal tanah air, Fizo Omar dan Mawar Karim telah menarik minat kami untuk ke sini. Adakah segala tohmahan terhadap restoran mereka benar sebegitu?


Berikut adalah perkongsikan jujur, tulus dan mulus pengalaman tim Vocket Makan di FizoMawar Kitchen. Sebagai makluman, kedatangan kami kali ini bukan atas jemputan dan tanpa pengetahuan pemilik restoran.

Kami ceritakan satu per satu. Masa kejadian ialah Selasa (12 Januari 2016).
1. Pandangan Pertama
Perkara pertama yang akan menyambut anda di sini adalah sebuah replika perahu tradisional. Cantik. Katanya dibawa khas dari negara Thai. Kalau nak berselfie beramai-ramai, kami syorkan anda ambil gambar di sini.

FMK - 01 Sampan

Hiasan dalaman restoran ini agak simple. Terbahagi kepada 2 bahagian, berhawa dingin dan ruang terbuka. Meja kayu dan bangku digunakan untuk pelanggan menjamu selera.
FMK - 02 Seating
2. Layanan pelayan
Ketika kami tiba di sini, tidak ramai pelanggan di dalamnya. Kami disapa mesra oleh seorang pelayan lelaki. Kami ditanya sama ada ingin makan di luar atau di dalam. 


Kami memilih untuk ke ruang yang berhawa dingin dan pelayan tersebut membawa kami masuk ke dalam tanpa kompromi.


Duduk sahaja, kami diberi buku menu setiap seorang.

“Abang pilih dulu menu apa yang abang nak, kemudian tulis kod nombor makanan dekat nota order ni ye”  ujar pelayan tersebut sambil menunjukkan pensil dengan menggunakan ibu jarinya. Tertib elok.

3. Menu Hidangan

Menu yang disediakan ringkas dan jelas. Setiap item diletakkan gambar bersama namanya dalam bahasa Thai beserta maksud, menjadikannya lebih mudah difahami dan senang untuk pelanggan membuat pilihan tanpa dahi berkerut. Kami andaikan mungkin ini buku menu yang baru.

FMK - 03 MenuNamun hanya ada 9 pilihan makanan dan 10 pilihan minuman sahaja yang sedia untuk dipesan buat masa ini dan selebihnya ditanda ‘coming soon’.
Kami memesan kesemua makanan yang boleh dipesan, bersama 3 jenis air yang berlainan.
4. Tempoh masa hidangan sampai
Semua order pantas sampai ke meja kami. Jangkaan kami air akan sampai dalam masa 29 minit ternyata meleset bila ia sampai hanya dalam masa kurang 5 minit!
Makanan pula tidak sampai 10 minit. Mengagumkan!
Walaupun pelanggan semakin bertambah, bila saja kami menambah order, tetap tidak perlu menunggu lama.

5. Rupa, rasa dan harga hidangan

Kita mulakan sesi review dengan hidangan ala nasi briyani bernama Kau Mok Khai. Nasinya menggunakan beras Brasmati Thai berempah dihidangkan bersama seketul ayam dan homemade sos Thai. Saiz hidangannya ‘just nice’ bak kata orang Bangi.
Menariknya, ia dihidangkan di dalam bekas anyaman unik. Jika anda penggemar nasi briyani, pastinya ini pilihan anda. Rempahnya agak kuat terasa, tetapi kembali seimbang bila digaulkan dengan sos Thai yang disediakan.

FMK - 04 Kau Mok Khai

RUPA BEKAS DAN NASINYA DI DALAM – RM10.90

Musykil kenapa dinamakan Nasi Rebus (kami rasa lebih sesuai nasi kukus), hidangan ini adalah nasi putih berlaukkan ayam bijan, kuah gulai, sambal belacan dan 2 keping mentimun. Pada kami, ini adalah hidangan simple tapi power!
FMK - 05 Nasi Rebus

BAHAGIAN MANA YANG DIREBUS, KAMI TAK PASTI – RM8.90

Nam Kun, diterjemahkan sebagai Thai Black Soup Noodles manakala Nam Saipula adalah Thai Clear Soup Noodles

Nam Kun berisikan kepingan daging manakala Nam Sai pula berisikan ayam. Asalnya rasa kedua-duanya agak plain,tetapi bila ditambah aksesori yang tersedia secukup rasa, hasilnya marvellous!Ini diakui sendiri oleh ahli baru tim Vocket Makan yang turut serta dalam misi kali ini.

FMK - 06 Nam Kun

NAM KUN – RM8.90

FMK - 07 Nam Sai
NAM SAI – RM7.90

FMK - 08 Aksesori
AKSESORI TAMBAHAN PELENGKAP RASA.

Pad Thai atau Mee Goreng Thai yang dikatakan terkenal ini memang superb! Ia digoreng basah menggunakan pes homemade tersendiri. Disertakan bersama asam limau dan cayenne pepper (andaian kami), memang menyengatlah jika dicampurkan semuanya sekali. Nasihat kami, jangan!
FMK - 09 Pad Thai

WAJIB ORDER NI, PAD THAI – RM8.90

Kami biasa dengan Lok Ching Ikan, tapi untuk Lok Ching Ayam dan Daging, inilah pertama kali kami jumpa. 

Bila dah masuk mulut, agak kecewa kerana rasanya tidak lebih dari bebola ayam dan daging biasa. Bahkan dengan harga RM5.90 untuk satu set 6 biji, kami rasakan ia agak kurang berbaloi.

FMK - 10 Lok Cing

LOK CHING AYAM DAN LOK CHING DAGING – RM5.90 SETIAP SATU SET

Roti Stereng ini saling tak tumpah bak roti arab biasa, dihidang bersama Kari Daging Penang yang likat lazat. Dengan rotinya yang lembut, memang satu kombinasi yang kena. Makan sekeping ini pun boleh kenyang rasanya.
FMK - 11 Roti Stereng

MEMANG SEDAP, CUMA… – RM7.90 SATU SET

Oh lupa cerita air. Hasil dari rekomendasi pelayan di sini, kami dicadangkan air Cha Klau YenCha Yen dan Soda Dheng Manou. Jangan risaukan namanya, setiap satu ada tertulis diskripsinya. Ternyata pilih air mana pun sedap. Manis memang manis, tapi itu kadar kemanisan biasa untuk orang Kelantan (Bangi kan penuh dengan orang Kelantan :)
Airnya memang dipek stylo! Sukatannya tertulis 30 teguk. Kami juga dinasihatkan untuk meletakkan plastik air itu ke dalam bekas nasi tadi bagi mengelakkan dari tertumpah. Jika tak habis, strap kembali dan bawa pulang. Boleh tahanlah bijaknya.
FMK - 12 Air
BEGINI CARANYA. AIR BERHARGA DI ANTARA RM3.90 KE RM7.90

Kami menutup sesi kami dengan hidangan pemanis mulut iaitu kuih Kelantan bernama Akedut. Harum baunya. Bersaiz sederhana besar, ia dimasak dengan dibakar sempurna, mampu memberi kepuasan kepada peminat akok, eh, akedut.
FMK - 13 Akedut

TIDAK PASTI BAGAIMANA AKOK MENJADI AKEDUT. TAPI KAMI REDHA. – RM4.90 / 4 KEPING

Harga makanan di sini agak berpatutan. Apatah lagi semua harga yang tertera dikenakan tanpa GST.
Secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dengan servis dan kualiti masakan di FizoMawar Kitchen ini. 
Baru mula beroperasi sekitar pertengahan Disember 2015 lalu, semestinya masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Apa pun, FizoMawar telah mengambil langkah bijak dengan mendengar pendapat yang dilontarkan oleh pelanggan demi meningkatkan mutu restoran mereka.
Pergilah cuba sendiri. Jangan risau, insyaAllah tiada lagi meja yang bergoyang.
Nama Premis : FizoMawar Kitchen
Lokasi : No 9, Jalan 8/1, Seksyen 8, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor (waze)
Layari Laman Facebook dan Instagram.
Waktu Beroperasi : Selasa – Ahad, 11am – 11pm.
p/s: Bilik berhawa dingin harap sentiasa ditutup pintunya supaya hawanya kekal dingin.
Kemaskini: Resit makanan yang dibayar sendiri oleh 5 orang tim Vocket Makan. Terdapat tarikh, masa dan jumlah yang dibayar.
IMG_2016-01-14 12:20:12
IMG_2016-01-14 12:20:12

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...