Seorang pemandu teksi warga emas mati ditikam dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor di Kota Bharu hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Ahmad Taufek Abdullah berkata mangsa Sudin Awang, 67, dibunuh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika teksi yang dipandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 2.30 petang.
"Semasa dia (pemandu teksi) berhenti di persimpangan itu ketika lampu merah, suspek menghampiri kenderaannya lalu memecahkan cermin belakang, cermin pintu penumpang depan dan cermin pintu sebelah pemandu dengan objek keras.
"Kemudian pemandu teksi ini diarah keluar daripada teksinya oleh suspek dan kemudian dia dipercayai ditikam dengan senjata tajam sebelum rebah di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Ahmad Taufek berkata suspek kemudiannya melarikan diri ke arah Salor.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, sedang memandu teksinya dari arah Dewan Beta di Kota Bharu bersama seorang penumpang wanita yang duduk di bahagian penumpang belakang.
"Penumpang dalam teksi itu bagaimanapun dapat menyelamatkan diri," katanya.
Ahmad Taufek turut meminta orang ramai termasuk pemandu kenderaan lain yang berhenti di persimpangan itu semasa kejadian berlaku, untuk tampil membantu polis menyiasat kes berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat.
0 comments:
Post a Comment