Tidak ada perkara yang lebih "membanggakan" yang boleh dianggap sebagai "hadiah berharga" di hujung tahun kepada negara apabila Malaysia diumumkan memenangi tempat ketiga dalam kategori "skandal rasuah paling teruk" di dunia bagi 2015.
Barangkali inilah pertama kali Malaysia berada di kedudukan "terbaik" itu dan sekaligus menjadikan tahun 2015 meninggalkan memori paling hitam bagi kita semua.
Ini juga membuatkan kedatangan tahun 2016 sebagai penuh cabaran sama ada kita mampu memulihkannya atau menjadikan tahun-tahun mendatang lebih teruk lagi keadaannya.
Dalam penilaian yang dilakukan oleh foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company, Malaysia dinilai berada di tempat ketiga di belakang FIFA, persatuan bolasepak dunia yang banyak terpalit dengan rasuah dan sebuah negara di benua Afrika iaitu Nigeria.
Seterusnya Honduras dan Guatemala berada di kedudukan keempat manakala hakim-hakim di Ghana dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB berada di kedudukan kelima dan keenam.
Menurut laporan itu, Presiden AS Barack Obama berada dalam kedudukan amat janggal apabila melawat Malaysia baru-baru ini berikutan laporan yang mengaitkan Najib dengan kemasukan wang berjumlah RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya.
Dengan itu, bolehlah difahami bahawa meskipun wang tersebut ditakrifkan sebagai derma oleh SPRM, tetapi masyarakat antarabangsa tetap sukar menerimanya.
Mereka lebih cenderung melihatnya sebagai satu bentuk rasuah yang akhirnya menyumbang kepada "markah yang lumayan" sehingga Malaysia berjaya memperolehi tempat ketiga sebagai negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk" di dunia.
Dalam persidangan anti rasuah antabangsa atau IACC di Kuala Lumpur, September lalu yang enggan dihadiri oleh Najib kerana takut berdepan dengan pertanyaan antarabangsa mengenai wang tersebut, beberapa wakil yang hadir secara terbuka mengatakan duit sebanyak RM2,600 juta itu mempunyai semua ciri-ciri yang boleh dikaitkan dengan rasuah.
Dengan kejayaan meraih tempat ketiga itu, ia bukan saja suatu sejarah kerana negara tidak pernah mendapat "tempat sebaik" itu sebelum ini atau dalam mana-mana kepimpinan terdahulu, malah barangkali menjadikan Malaysia negara Islam pertama disenaraikan sebagai antara "pemenang teratas" yang mengaibkan itu.
Mujurlah foreignpolicy.com tidak membuat penilaian berdasarkan kategori individu, sekiranya ada, siapakah agaknya antara pemenangnya?
Apakah sekali lagi Malaysia ada wakilnya juga?
0 comments:
Post a Comment