KUALA SELANGOR: Sekumpulan kanak-kanak sedang asyik bersembang di bawah sebuah kanopi yang terletak di atas gelanggang badminton antara dua buah bangunan sekolah.
Semakin lama semakin ramai sehingga kira-kira 15 orang lingkungan usia enam hingga 10 tahun duduk di atas kerusi membentuk sebuah kumpulan bulat.
Sambil berbual bergelak ketawa, mereka menikmati 'jajan' yang diperoleh di khemah makanan yang tidak jauh dari situ. Sinaran mentari jam 2 petang hari itu agak terik, mujur ada kipas dipasang pada bumbung kanopi.
Dalam keramaian itu, seorang budak lelaki duduk di pinggir kanopi, sedang asyik menikmati 'jajan'nya tanpa menghiraukan hiruk pikuk rakan lain.
"Ala, kenapa kau dapat empat, aku dapat dua je!", teriaknya setelah melihat salah seorang budak perempuan datang menggengam 'jajan' menggunakan kedua-dua tangannya.
Wajah Muhd Ikhmar Azfar Razi Mohd Ibrahim sedikit tidak pusa hati, tetapi tidak lama. Dia kemudian kembali menyuap sekeping demi sekeping keropok ke mulutnya.
Rambutnya pendek keperangan, wajahnya comel ada sedikit iras Fernando Torres, pemain bola sepak Sepanyol. Bajunya pula sedikit comot, dan ada beberapa kesan koyak yang dijahit pada bahagian lutut seluarnya.
Dia bersama bapa dan lima beradiknya menginap di pusat pemindahan mangsa banjir Sekolah Kebangsaan Parit Mahang sejak lima hari lalu apabila beberapa kawasan di Kuala Selangor dilanda banjir bermula 17 November.
"Air naik tapi tak tinggi, paras lutut saya je". Walaupun baru berusia enam tahun, pertuturannya lancar seperti sudah bersekolah. Jawapannya sentiasa pendek setiap kali diajukan soalan. Yakin dan lancar, tetapi pendek saja.
Selesai menjamah sepeket 'jajan', sepeket lagi dimasukkan ke dalam poket seluarnya sebelum berlalu pergi untuk mengambil air minuman.
Entah dari mana, muncul tiga orang budak lelaki berlari berkejaran sebelum mengambil kerusi dan duduk menyertai kumpulan itu. Sambil itu, saya berbual dengan mereka.
"Banjir ni 'best' sebab boleh berkubang!," beritahu Muhammad Hairi Rafizi Abdullah sambil tersenyum lebar, menampakkan susunan giginya yang berterabur dan rongak. Tubuhnya kurus dan kulitnya gelap. Pada sekitar buku lalinya kelihatan kudis yang sesekali digarunya.
"Tak takut ke ada ular datang waktu berkubang tu?." "Tak, kalau ada saya pijak-pijakkan saja!," katanya yakin.
Di sebelahnya, budak lelaki gempal berbaju biru gelap dan berseluar sukan hanya tersengih mengiyakan kata-kata Hairi yang lincah. Namanya Muhammad Danish Asyraf Mohd Rahimi, tetapi rakan-rakan memanggilnya Abang Cik.
Seorang lagi bernama Irfan Raziq Ahmad. Lebih kurang Danish sifat pemalunya, cuma Irfan lebih berani menjawab apabila diajukan soalan.
"Sini seronok, ramai kawan," kata Irfan ringkas. Senyumannya yang hadir sesekali menampakkan barisan gigi susunya yang agak besar.
Mereka bertiga mengenali antara satu sama lain sejak darjah satu. Tahun depan, mereka akan melangkah ke darjah tiga di SK Parit Mahang. Baru sahaja bermula cuti hujung tahun, mereka terpaksa 'kembali' ke sekolah jauh lebih awal.
Pada wajah ketiga-tiga sahabat, hanya senyuman yang dilihat sepanjang masa. Tidak langsung tergambar rasa risau, jauh lagi sedih walaupun terpaksa meninggalkan rumah sehingga satu masa yang mereka sendiri tidak tahu.
Bagi mereka, kehidupan di pusat pemindahan memberi erti kebebasan mutlak. Mereka boleh bermain sepuas hati pada bila-bila masa tanpa dimarahi atau dihalang ibu bapa yang sedang sibuk memikirkan hal rumah yang sudah dinaiki air.
"Kadang-kadang main bola, main kejar-kejar, main sorok-sorok. Rasa nak main, ajak kawan-kawan lepas itu main ramai-ramai," kata Danish dengan suara serak-serak basahnya.
"Kalau boleh tak nak balik rumah. Di sini ada ramai kawan. Kalau balik rumah tak ada kawan, mak pun marah kalau asyik main je!," kata Hairi yang sejak awal tadi tidak duduk diam di atas kerusinya.
0 comments:
Post a Comment