loading...

Friday, 27 November 2015

Istiqamah dalam berinfak dan beramal

Istiqamah dalam berinfak dan beramal

SYUKUR kepada ALLAH SWT kerana kita masih bernyawa dan boleh menggunakan pancaindera untuk menyampaikan maklumat dan ilmu kepada minda dan hati. Nikmat pancaindera ini pun tidak mampu untuk kita membalasnya.

Bahkan  nikmat yang lebih besar iaitu Islam dan iman yang kita jadikan sebagai landasan, panduan dan pedoman hidup di atas dunia ini. Nikmat inilah yang kekal manfaatnya kepada roh atau diri sebenar kita dalam perjalanan kembali kepada Pencipta.

ALLAH selaku pencipta lebih berhak menentukan kenapa Dia menjadi dan menghidupkan kita di dunia ini? Kita mungkin berasa bebas berbuat apa yang kita suka lakukan, namun hakikatnya kita bakal ditanya di akhirat kelak mengapa, apa dan apakah kita tidak mengetahui tujuan kita dihidupkan?.

Semua amalan kita, beriman atau tidak, pasti mempunyai kesan kepada pembalasan yang adil daripada-Nya. Di waktu itu tiada lagi dalih yang boleh diterima kerana mulut sudah bisu sementara anggota tangan dan kaki akan berbicara dan menjadi saksi atas semua amalan semasa hidup.

ALLAH sendiri memberikan maksud dan tujuan Dia menjadikan kita iaitu untuk beribadat, mengabdikan diri dan mentaati ALLAH melalui pematuhan syariat-Nya yang diturunkan kepada nabi dan rasul dengan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir untuk semua manusia.

Selain berperanan sebagai hamba, manusia terpilih sebagai pelaksana tugas khalifah ALLAH di atas muka bumi iaitu tugas pengurusan manusia, makhluk lainnya dan semua sumber alam yang ada.

SIAPA MAMPU BERI PETUNJUK

Sebagai seorang Muslim, kita menerima enam rukun iman dan dibuktikan melalui amalan lima rukun Islam yang dilaksanakan mengikut syarat dan panduannya.

 Semua ini bukan kita reka untuk diguna pakai sendiri mahupun dalam berinteraksi dengan orang lain, tetapi kita menerimanya daripada sumber yang hakiki, yang sah dan betul iaitu al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Semuanya telah jelas, terang dan didokumentasikan dengan baik hingga kita mampu membaca, mendengar, memahami dan beramal dengannya.

Kita berusaha berdakwah dengan penuh hikmah dan bijaksana kepada orang lain yang belum menerima kebenaran dan nilai akhlak murni yang ada dalam Islam. Terpulanglah kepada mereka sama ada mahu menerima atau tidak dengan izin ALLAH. Dialah yang memegang hati manusia, memilih siapa yang akan menerima hidayah, pengampunan dan balasan syurga  di akhirat nanti.  Nabi SAW  sendiri pun tidak mampu memberi  hidayat kepada Abu Talib, keluarga terdekat yang menjaga dan melindunginya daripada ancaman kaum kafir musyrikin pada masa itu.

BERAMAL UNTUK APA & SIAPA

Untuk apa dan siapa kita beramal?. Kita beramal untuk memenuhi hak tertentu iaitu hak ALLAH, hak untuk diri sendiri dan hak untuk ahli atau orang lain. Hak ALLAH adalah untuk kita menyembah-Nya, beribadat kepada-Nya, memuja-memuji dan berdoa, memohon pertolongan hanya kepad-Nya. ALLAH akan mengatur bantuan melalui cara dan sebab yang kadang-kadang kita tidak jangka, umpamanya kerjasama dan bantuan daripada orang lain melalui usaha ikhtiar kita dengan izin ALLAH jua.

 Hak untuk diri kita adalah memenuhi keperluan fizikal, makan minum, pakai dan kemudahan perlindungan rumah dan kemudahan perhubungan lainnya. Zalim kita pada diri sendiri jika kita mengabaikan keperluan diri ini yang boleh merosak diri. Lebih utama, adalah kita memenuhi hak diri terhadap makanan minda dan hati, ilmu untuk panduan minda dan ilmu untuk mengenal ALLAH dan cara ketaatan kepada-Nya.

Hak untuk ahli dan anggota masyarakat lainnya adalah melalui kita bermuamalah, berinteraksi dan berhubung dengan mereka melalui tanggungjawab keluarga, tanggungjawab berjiran, bermasyarakat dan yang lebih luas tanggungjawab bernegara. Apabila kita dapat menunaikan semua hak ini dengan cemerlang maka pada kita memenuhi ketaatan kepada ALLAH apabila melaksanakannya dengan panduan syariat, bukan dengan bijak akal sendiri atau nafsu  semata-mata.

KESAN BAIK  SETELAH MATI

ALLAH dengan rahmat-Nya menyedia silibus dalam hidup seorang Muslim. Pengukuran nilai amalnya adalah atas pematuhan syariat-Nya dan keikhlasan hatinya untuk ALLAH. Oleh kerana umur manusia terhad mungkin sekitar 70 tahun, maka ALLAH menyediakan amalan yang memberi pahala berpanjangan setelah kematiannya.

Semua amalan peribadi seperti solat, puasa, zakat ,haji dan zikirnya  hanya mampu dilakukan semasa hidup dan tidak mampu dilakukan setelah mati. Roh tidak beramal lagi di alam barzah, ia hanya menerima kesan daripada amalan yang pernah dilakukan, yang  memberi manfaat berpanjangan setelah kematiannya.

Inilah konsep amal jariah (amal yang pahalanya terus mengalir kepadanya walaupun dia sudah mati berada dalam kuburnya). Maka mereka yang beruntung adalah yang beramal dengan amalan yang wajib atau asas dan beramal juga untuk menerima pahala yang berterusan ini.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh."

Hadis di atas menjelaskan amalan berkaitan dengan infak harta, berkaitan dengan ilmu dan pendidikan anak atau generasi mendatang adalah bidang amal jariah yang terbentang luas di hadapan kita. Semakin besar dan lama manfaat diterima orang lain maka semakin tinggilah nilai amal jariah tersebut.

Kalau dalam hidupnya dia pernah infak, menyumbang kepada satu pihak dan sumbangan itu digunakan untuk menyediakan kemudahan pendidikan, kemudahan awam dan lain program dan terus digunakan, atau ilmu dan manfaat dari program itu menjadikan ramai orang menjadi baik dan soleh,  maka pahalanya dijanjikan ALLAH akan terus mengalir kepada penyumbangnya, walaupun dia sudah mati atau telah lupa dengan amalan infaknya itu.

SIKIT  BAIK DARI BANYAK  ROSAK

Islam menggalakkan amalan jihad dalam beramal. Semakin rasa berat tetapi tetap dilaksanakan dengan patuh dan sabar, semakin tinggi nilai amalannya. Kerana itulah kemuncak jihad (mempertahankan kalimah ALLAH dan sunnah Nabi SAW sehingga terkorban). Inilah kelebihan mati syahid (mempertahankan Islam) dengan berilmu dan  cara yang betul.

Nabi SAW pernah melarang sahabat dari menyertai peperangan kerana dia mempunyai tanggungjawab lebih utama yang belum selesai.

Ertinya bukan sembarangan orang boleh isytihar perang jihad terhadap kaum musyrikin. Dalam peperangan pun ada etika tidak merosakkan harta benda, tanaman  atau membunuh orang tua, kanak-kanak, perempuan  dan mereka yang tidak menjadi tentera musuh.

Meletupkan diri di tengah awam yang tidak berperang adalah amalan yang tidak memenuhi etika peperangan jihad, tidak patuh syariah dan merugikan diri sendiri.

ISTIQAMAH DALAM BERAMAL

Sedikit dan berterusan dalam amalan yang sunat adalah tabiat disukai ALLAH berbanding dengan amalan yang berat dan banyak satu ketika dan ditinggalkan langsung satu waktu yang lain. Ini kerana amalan yang berterusan atau istiqamah akan menjaga hati supaya tidak datang penyakit jemu, ujub bahkan riak yang boleh merosakkan amalan tersebut. Umpamanya solat malam tanpa tidur, boleh melemahkan tubuh untuk beramal dalam sudut yang lain, bahkan mungkin sampai tertinggal Solat Subuh lantaran tertidur dan keletihan.

Begitu juga dengan amalan  infak atau sedekah, digalakkan berterusan walau jumlah yang kecil. Ia lebih mendidik hati dan menjauhi rasa ujub, bangga diri atau menimbul prasangka yang buruk kepada pihak yang kita infak kerana takut banyaknya sumbangan kita yang mungkin disalah guna.

Beramal satu hal, menjaga amalan kita supaya tidak rosak atau sia-sia satu hal yang lain. Islam membenarkan beramal secara terang-terangan, supaya memberi contoh, menggalakkan orang lain beramal, bukan untuk riak, bangga dan ujub kerana ia boleh menghilangkan pahala beramal bahkan menjadi dosa pula.  Lantaran itu beramal, berinfak secara sembunyi, tanpa publisiti melampau lebih selamat dalam menjaga hati kita dari sifat riak.

Orang yang berinfak perlu menjaga amal soleh mereka supaya terus menjadi amal jariah dan tidak merosakkan melalui percakapan yang menyakitkan hati penerima dan menghina mereka. Lebih buruk lagi jika kita tidak berinfak, tapi merosakkan semangat orang lain untuk berinfak dengan hasutan, tohmahan dan berbagai prasangka buruk kepada pihak penerima atau pengurus infak. Mudahan kita dijauhi daripada  tergolong dalam yamnau'unal maau'un (penghalang orang berbuat kebajikan).



ISEMAAIL BASRI
Penulis adalah bekas Ketua Pengarah YaPEIM

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...