PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, Selangor lapan tahun lalu.
Keputusan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu dicapai sebulat suara oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Empat panel hakim lain ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali.
Mahkamah turut menolak rayuan Mohamad Khir agar hukuman penjara digantikan dengan khidmat masyarakat iaitu rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin selama dua tahun.
Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mengarahkan hak perayu ke atas banglo itu dilucutkan dan diserahkan kepada kerajaan.
Mohamad Khir, 50, yang berada dalam keadaan berdiri dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Hakim Zulkefli dalam penghakimannya berkata, hukuman penjara sesuai dengan kesalahan yang dilakukan bekas menteri besar itu manakala program khidmat masyarakat seperti dicadangkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya sesuai untuk pesalah muda dan kesalahan ringan.
0 comments:
Post a Comment