PETALING JAYA: Seorang wanita Kemboja yang kudung kedua-dua kaki mampu mengemis sehingga RM11,000 dengan menyamar sebagai umat Islam di Alor Setar, Kedah.
Menurut laporan Sin Chew Daily, wanita berusia 50 tahun itu akan memakai tudung dan berkerusi roda untuk mengemis di sekitar pasar yang menjadi tumpuan orang ramai.
Dia ditahan penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar di sebuah pasar di Jalan Putra, semalam, dan hasil pemeriksaan beg tangannya menemui RM1 berjumlah RM758 yang diperolehi hanya dalam tempoh 2 hari.
Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku memakai tudung untuk menyamar sebagai umat Islam kerana ia lebih mudah menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan “pendapatan” lebih banyak.
Katanya, dia boleh mendapat sekurang-kurangnya RM150 hanya dengan mengemis di pasar sekitar 3 jam dan purata pendapatan bulanan kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 dan rekodnya ialah RM11,000 sebulan.
Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 60 tahun mendakwa dia terpaksa mengemis untuk menyara anak tunggalnya yang menganggur.
Walaupun tahu mengemis salah di sisi undang-undang, tetapi dia terpaksa berbuat demikian demi menyara kehidupan mereka berdua dan setiap hari anaknya akan menghantar dia ke pasar di Alor Setar untuk mengemis.
Seramai 7 pengemis, termasuk 3 warga asing ditahan dalam operasi JKM bersama polis dan pusat zakat.
Sumber: FMT
0 comments:
Post a Comment