loading...

Tuesday, 18 October 2016

Maklumat Awal Dapati 2 Ekor Ular Sawa Dilempar, Jurulatih & Pembantu Digantung Tugas

Ipoh : Empat jurulatih dan enam pembantu daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Kangsar digantung serta merta daripada menjadi tenaga pengajar program membina jati diri sehingga siasatan selesai.

Langkah itu diambil oleh pengurusan tertinggi APM selepas rakaman video mengenai penggunaan ular ketika latihan kem jati diri di pejabat APM Kuala Kangsar menjadi viral di media sosial sejak kelmarin.

Pengarah APM Perak, Kolonel Pertahanan Awam (PA), Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, pihaknya mendapati terdapat pelanggaran operasi standard (SOP) dilakukan ketika menjalankan Program Kem Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru, Kuala Kangsar, ketika kejadian.

Katanya, hasil maklumat awal yang diperoleh mendapati jurulatih melempar dua ular sawa ke dalam kolam yang perlu dilalui oleh sekumpulan pelajar perempuan.

“Pengurusan APM Pusat dan negeri sangat kecewa dengan kejadian ini kerana jurulatih yang berada di tempat kejadian melanggar SOP yang sedia ada.

“Kegagalan untuk mematuhi SOP tidak sepatutnya berlaku dan kita akan menjalankan siasatan terhadap kesemua mereka dan memastikan keadilan serta hukuman setimpal diberi mengikut prosedur tatatertib APM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Noor berkata, program berkenaan adalah siri ke-32 yang bermula pada 2012 dan sudah empat tahun dilaksanakan.

Katanya, 1,622 orang pelajar sudah mengikuti program membina jati diri di APM Kuala Kangsar namun kejadian menggunakan ular berkenaan adalah pertama kali berlaku.

Sumber: Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...