ISTANBUL - TURKI. Buat pertama kalinya dalam 81 tahun, seorang muazzin melaungkan azan dari dalam Hagia Sophia, antara monumen paling ikonik di Istanbul.
Azan dilaungkan dari dalam muzium itu kelmarin menurut laporan RT.
Sejak empat tahun lepas, azan berkumandang dari menara-menara muzium itu, namun muazzin hanya melaungkannya dari sebuah bilik solat, bukan dari dalam Hagia Sophia sendiri.
Bulan lalu, Turki membenarkan al-Quran dibacakan di dalam Hagia Sophia sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Melalui laporan AFP, setiap hari, saluran televisyen Turki, Diyanet TV akan menyiarkan ulama-ulama Turki membaca al-Quran di dalam muzium itu pada waktu sahur.
Langkah itu bagaimanapun dibantah parti pembangkang di negara itu yang menyifatkannya sebagai provokatif dan tidak munasabah.
Hagia Sophia, yang bermaksud 'Hikmah Suci' dalam bahasa Greek, dibina sebagai sebuah gereja Byzantine pada abad ke-6 sebelum ditukar menjadi masjid pada 1453 apabila tentera Ottoman menakluki Istanbul, yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople.
Selepas kejatuhan Empayar Ottoman dan setelah Turki dibangunkan sebagai negara moden sekular, masjid tersebut ditukar menjadi sebuah muzium pada 1935.
Pada Mei lalu, ribuan jemaah berhimpun di Hagia Sophia untuk menuntut hak mereka untuk menunaikan solat di sana.
0 comments:
Post a Comment