loading...

Thursday 21 January 2016

Dr. Vida Sedang Teliti 
Warna Cat Merah Jambu


PEKERJA-PEKERJA mula menjalankan kerja-kerja mengecat pagar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan warna putih sebelum kerja naik taraf besar-besaran dimulakan kelak.
PEKERJA-PEKERJA mula menjalankan kerja-kerja mengecat pagar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan warna putih sebelum kerja naik taraf besar-besaran dimulakan kelak.
KOTA BHARU – Gelanggang keramat pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini akan dicat secara selang seli menggunakan warna merah jambu dan putih.
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida berkata, ini selaras dengan warna tema produk Qu Puteh keluaran syarikat Vida Beauty.
Menurutnya, ketika ini beliau sedang meneliti warna cat bagi memastikannya tepat dengan warna produk tersebut.
“Ketika ini saya sedang meneliti kod warna merah jambu sebelum kerja-kerja mengecat stadium di jalankan kerana ada banyak jenis merah jambu.
“Sementara meneliti kod itu, kerja-kerja membersihkan kotoran dan warna asal stadium berkenaan di bahagian tempat duduk penyokong sedang giat dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kerja-kerja untuk mengubah wajah Stadium Sultan Muhammad IV di sini dengan menggunakan warna merah jambu dan putih sebagai warna utama sudah bermula dengan kerja-kerja pembersihan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kerja-kerja mengecat pintu pagar di dalam kawasan stadium yang berusia 49 tahun itu giat dijalankan oleh pihak kontraktor.
Difahamkan kerja pembersihan akan mula dilaksanakan sebaik sahaja kerja-kerja mengecat pagar selesai sepenuhnya.
Sementara itu, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya hanya dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja mengecat sahaja.
Katanya, kontraktor yang telah dilantik diberikan masa selama tiga minggu untuk membersih dan membuang warna asal serta kekotoran di dalam stadium berkenaan.
“Kontraktor kena siapkan kerja-kerja ini sebelum 7 Febuari, barulah kita boleh cat di bahagian luar, tetapi kalau kedua-duanya boleh dilakukan secara serentak lagi baik.
“Saya tidak mahu pindah gelanggang perlawanan sebab perlawanan tidak boleh ditunda kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah lama beri jadual,” ujarnya.
Perubahan itu selaras dengan dua syarat awal ditetapkan Dr. Vida iaitu menukar warna stadium dari merah kepada merah jambu serta nama gelaran pasukan itu ke Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
Jutawan selebriti itu bersetuju menaja Kelantan selama dua musim berjumlah RM16 juta bersama 33 syarat yang perlu diikuti oleh Kafa.

0 comments:

Post a Comment

loading...
loading...